'Saya dah tunggu setahun untuk keputusan ini' - Sarah Yasmine tuntut RM875,000 daripada Aliff Aziz

Gempak
Mac 10, 2025 12:40 MYT
Sarah (kiri) beri tempoh tujuh hari kepada Aliff (kanan) untuk melunaskan jumlah yang diminta atau bersedia menghadapi tindakan lanjut. -Gempak
DRAMA di antara Sarah Yasmine dan aktor Aliff Aziz kembali panas.

Ringkasan AI
  • Sarah Yasmine menuntut ganti rugi S$250,000 (RM875,000) daripada Aliff Aziz kerana memfailkan tuntutan yang tidak berasas di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA).
  • Aliff Aziz mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan pelakon Ruhainies, mengesahkan kenyataan Sarah sebelum ini.
  • Sarah memberi tempoh tujuh hari kepada Aliff untuk membayar pampasan dan merancang tindakan undang-undang terhadap individu lain yang memburukkan namanya.

Wanita yang pernah mengaku sebagai kekasih gelap Aliff itu kini menuntut ganti rugi sebanyak S$250,000 (RM875,000) sebagai pampasan kerana aktor itu dikatakan telah secara salah memfailkan tuntutan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) terhadapnya tahun lalu.
Hantar Notis LOD Terhadap Aliff
Sarah, 25, menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak berasas, lebih-lebih lagi selepas Aliff sendiri mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan pelakon Ruhainies pada 21 Februari lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Sarah memuat naik notis tuntutan (Letter of Demand) terhadap Aliff dan menegaskan bahawa pengakuan bersalah Aliff membuktikan segala kenyataan yang pernah dibuatnya sebelum ini adalah benar.
“Saya merujuk kepada pengakuan bersalah anda yang baru-baru ini pada 21 Februari 2025 berkaitan dengan kes khalwat melibatkan seorang pelakon Malaysia, seperti dilaporkan secara meluas di media Singapura dan Malaysia.
"Pengakuan ini mengesahkan bahawa kenyataan saya sebelum ini mengenai hubungan anda dengan pelakon tersebut, yang telah saya kongsikan secara terbuka, adalah benar dan tidak memfitnah.
"Walaupun begitu, anda telah secara salah memulakan tuntutan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) terhadap saya, yang membawa kepada Perintah Perlindungan Segera (EPO) yang dikeluarkan pada 29 April 2024. Tindakan undang-undang ini adalah remeh dan tidak berasas," kata kenyataan tersebut.
Aliff Kena Bayar Dalam Tempoh Seminggu
Sarah juga memberi tempoh tujuh hari kepada Aliff untuk melunaskan jumlah yang diminta atau bersedia menghadapi tindakan lanjut.
“Ini hanyalah permulaan, bagi mereka yang telah menganiaya saya dalam tempoh sama, terutamanya mereka yang mereka cipta fitnah tentang saya, sama ada besar atau kecil, ketahuilah bahawa saya akan datang untuk anda juga tahun ini.
"Anda tahu siapa anda. Dah kata, kebenaran, pasti akan menang.
“Saya dah tunggu setahun untuk keputusan ini, saya takkan berdiam diri lagi!” tegas Sarah.
Bukan itu sahaja, Sarah juga merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu lain yang didakwanya telah memburukkan nama baiknya sebelum ini.
Pada tahun lalu, Sarah mendakwa menerima notis mahkamah di Singapura yang melarangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Aliff. Namun, isu tersebut dikatakan selesai melalui proses mediasi di mahkamah.
Nama Sarah mula menjadi bualan ramai selepas dia muncul secara terbuka dan mengaku sebagai kekasih Aliff, dengan alasan tidak sanggup melihat aktor itu dikecam teruk selepas ditangkap berkhalwat dengan Ruhainies pada 9 Mac tahun lalu. -Gempak
#Aliff Aziz #Sarah Yasmine #Ruhainies #ganti rugi
;