“Saya bukanlah ustazah yang layak bercakap tetapi..” - Neelofa
Asyraf Roslan
Mac 28, 2024 15:01 MYT
Mac 28, 2024 15:01 MYT
BEBERAPA hari lalu pengacara dan usahawan, Neelofa Mohd Noor menerima kecaman netizen ketika menjadi penyampai jemputan dalam segmen 3 Pagi Era kerana dianggap nasihat yang disampaikannya berkaitan isu keibubapaan diibaratkan seperti tiada empati.
Namun buat Neelofa, 35, dia langsung tidak melatah dengan kecaman yang diterima malah mengakui kekurangan dirinya ketika berkongsi pandangan dengan seorang pemanggil semasa segmen tersebut.
Menurut bekas pengacara program MeleTOP itu, dia sebenarnya kesuntukan masa pada ketika itu menyebabkan tidak sempat untuk berkongsi isu berkenaan secara menyeluruh sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan pendengar dan warga maya yang menonton video rakaman tersebut.
"Saya akui ketidaksempurnaan memberi pandangan dalam konteks menyeluruh. Saya bercakap tentang agama tanpa menyentuh aspek lain seperti kesihatan mental dan juga empati. Saya bukanlah ustazah yang layak bercakap tetapi berkongsi sedikit daripada apa yang saya tahu.
"Dalam waktu yang singkat penjelasan itu tidak cukup. Secara spontan itulah reaksi atau jawapan yang boleh saya berikan. Jika ada masa mungkin saya boleh huraikan lebih lagi," katanya.
Pada masa sama, Neelofa berpendapat isu ibu bapa adalah sesuatu perkara besar untuk diulas dan sebagai anak harus baik dengan ibu bapa meskipun ibu bapa tidak mentaati Allah.
"Ibu bapa ini adalah satu subjek besar dalam al-Quran. Betapa besarnya darjat mereka yang diceritakan dalam setiap ayat-ayat al-Quran. "Allah sudah berpesan sekalipun ibu bapa syirik, sebagai anak kita tidak harus taat namun perlu berbuat baik tanpa meninggi suara atau bermasam muka," jelasnya.
Neelofa ditemui media ketika majlis tayangan perdana Astro sempena sambutan Hari Raya Aidilfirtri yang berlangsung pada Rabu di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Nama Neelofa menjadi hangat apabila ada yang menganggap bahawa Neelofa tidak mempunyai sifat empati terhadap seorang pemanggil yang terpaksa membesarkan adik-adiknya susulan masalah dalam keluarga yang dihadapinya.