'Saya bukan jenis kipas juri' - Penyertaan di final GV5 dipertikai, Zamani sedar ada yang tidak puas hati
Gempak
November 13, 2018 14:19 MYT
November 13, 2018 14:19 MYT
BINTANG Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Zamani menyifatkan penyertaannya ke peringkat akhir GV5 merupakan rezeki dari Allah.
Biarpun gagal menyempurnakan tugasan pertama dengan sebaiknya, Zamani menghormati keputusan juri yang memberikan markah tinggi terhadap persembahan keduanya.
"Pada saya, penyertaan ini rezeki dari Allah, saya percaya dengan perkara itu dan kita kena hormati keputusan juri.
"Apa yang pasti, saya tak pernah buat apa-apa perkara yang tidak betul seperti berjumpa dengan juri, saya bukan jenis kipas juri, malah saya tak buat apa-apa pun.
"Saya buat kesalahan di persembahan pertama dan saya reda dengan apa yang terjadi. Persembahan kedua saya berikan yang terbaik," kata Zamani yang ditemui usai konsert separuh akhir GV5.
Dalam pada itu, Zamani juga akur dengan sesetengah netizen yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan apabila dia bolos ke peringkat akhir GV5.
"Hak mereka untuk bersuara... Sudah tentunya ada yang tak puas hati, kalau saya berada di situasi mereka yang menonton pun saya tak puas hati tetapi saya harap kritikan itu dilakukan menerusi saluran yang betul.
"Saya percaya kepad rezeki dan akan cuba memberikan yang terbaik di peringkat akhir GV5 nanti," katanya.
Selain Zamani, lima peserta lain yang berjaya ke peringkat akhir adalah Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya Ruslee dan Billy Zulkarnain.
Manakala perjalanan Hetty Sarlene dan Kumpulan Forteen terhenti apabila gagal ke peringkat akhir.
Konsert akhir GV5 akan bersiaran pada 18 November ini dan ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut.
#Amelina
#Billy Zulkarnain
#Dia Fadila
#Gegar Vaganza 5
#juri
#konsert
#Maya Ruslee
#Noryn Aziz
#Program Realiti
#Zamani