"Saya buat salah" - Ryzal Duriankimchi mohon maaf hina pakaian tradisi Iban
Astro Awani
Mei 27, 2021 16:13 MYT
Mei 27, 2021 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial, Ryzal Duriankimchi tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagramnya selepas menerima kecaman netizen susulan tindakannya yang menghina pakaian tradisi Iban pada Rabu.
Menerusi kapsyennya, dia mengaku tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan dia bertanggungjawab atas tutur kata dalam gurauan tersebut.
“Sebenarnya penjelasan saya di sini, saya hanya bergurau dengan Maryam (isteri), waktu itu Maryam memakai pakaian tradisional Iban ketika rakaman untuk penggambaran.
“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Sarawak dan juga rakyat Malaysia tetapi khususnya untuk kaum Iban kerana saya telah mencemarkan salah satu khazanah yang ada, yang korang simpan sampai sekarang,” katanya.
Antara lain, dia juga memohon agar perkara itu tidak diperbesarkan kerana sememangnya dia tidak berniat untuk menghina busana tradisi tersebut.
“Saya mohon jangan perbesarkan kes ini kerana saya tiada niat untuk menghina, menjatuhkan budaya masyarakat Iban.
“Saya juga berharap agar tiada isu berkaitan dengan apa yang berlaku melibatkan bayi yang dikandung oleh Maryam ketika ini,” tambahnya.
Selain itu, perkara itu juga berlaku di luar jangkaannya dan hanya untuk gurauan semata-mata serta tiada niat untuk meraih populariti.
“Ini bukan untuk tujuan marketing, memang tiada plan langsung dan perkara itu hanya gurauan seperti yang kami sering lakukan di rumah.
‘’Kepada anda yang menonton video tersebut, saya tidak menghina, saya hanya bergurau, ada perbezaan menghina dan bergurau kemungkinan pada kaum Iban menganggap ia sebagai satu penghinaan.
“Namun bagi saya dan Maryam, kami hanya bergurau, dan sekali lagi kami memohon maaf atas gurauan tersebut,’’ ujarnya lagi.
Pada Rabu, Ryzal menerima kecaman di laman media sosial akibat daripada tindakannya yang melabelkan beberapa bahagian pada busana tradisional masyarakat Iban sebagai kain buruk, alas TV dan tali pinggang pengakap.
Ketika kejadian, isterinya, Maryam You Narae, sedang mengenakan busana itu untuk penggambaran satu program.
#Ryzal Duriankimchi
#Maryam You Narae
#hina pakaian Iban
#Ngepan Iban
#selebriti media sosial
#Ryzal mohon maaf
#kain buruk
#tali pinggang pengakap
#kain alas TV