"Saya akan jadi liabiliti besar kalau masuk Big Stage" - Naim Daniel
Gempak
September 8, 2019 12:16 MYT
September 8, 2019 12:16 MYT
PENYANYI Naim Daniel menafikan dakwaan dia menolak tawaran atau menarik diri untuk menyertai rancangan realiti hiburan Big Stage 2019 yang sudah bersiaran selama tiga minggu.
Jelas Naim, keputusan untuk tidak terbabit dengan rancangan itu dirasakan tepat memandangkan jadual hariannya terlalu padat hingga kemungkinan sukar untuk memberikan sepenuh komitmen kepada rancangan itu kelak.
"Saya tak dapat sertai Big Stage sebab jadual saya padat. Alhamdulillah rezeki untuk keluarga pun datang mencurah-curah.
"Tak masuk Big Stage bukan kerana takut kalah memandangkan rancangan ini pun menjadi platform terbaik buat penyanyi baru macam saya.
"Terpaksa menolak Big Stage untuk perkara lain? Saya reda. Sebab saya pun nak jaga hubungan dengan orang lain juga.
"Sejujurnya daripada minggu pertama Big Stage lagi jadual saya sudah padat hampir setiap minggu dan saya rasa akan datangkan liabiliti besar kepada produksi sekiranya saya sertai. Jadi, lebih baik saya berikan laluan kepada pihak lain terlebih dahulu kali ini," katanya kepada Gempak.
Naim yang ditemui usai rancangan All Stars Buka Panggung baru-baru ini menjelaskan perbincangan telah dibuat selepas namanya tersenarai antara calon akhir Big Stage 2019.
Bagaimanapun, Naim memuji usaha rakan selebritinya yang mengambil cabaran untuk menyertai Big Stage 2019 dan percaya ia akan menjadi platform terbaik untuk meletakkan nama dalam industri hiburan.
"Big Stage merupakan platform terbaik untuk memperoleh kepercayaan oran luar mengenai BBNU.
"Realiti show atau mana-mana persembahan pun bergantung pada rezeki. Adatlah menang dan kalah.
"Yang penting Big Stage boleh membuang stigma bahawa BBNU tak boleh menyanyi. Berikan kami peluang untuk menunjukkan yang terbaik semampunya," tambah Naim lagi.
Naim bagaimanapun harus akur gagal ke pusingan suku akhir All Stars Buka Panggung apabila kalah tipis kepada Datuk Aaron Aziz pada episod pertama baru-baru ini.
All Stars Buka Panggung disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.
Manakala, rancangan Big Stage 2019 ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!