"Saya ada bukti..." - Lufya kecewa didakwa tak beri kerjasama pada polis
Gempak
September 3, 2022 17:23 MYT
September 3, 2022 17:23 MYT
PELAKON Lufya Omar menafikan dakwaan dirinya tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa ekoran insiden pergelutan dan cubaan menculik anak perempuannya, Laana Haura pada Jun lalu.
Jelas Lufya, dia akui kecewa dengan penyebaran berita berkenaan dan menegaskan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan kes ini.
"Saya ada bukti sudah dua kali ke balai polis untuk memberikan kenyataan dan kerjasama. Jujur saya kecewa jadi sebegitu dan dilayan acuh tak acuh oleh pihak polis.
"Kali pertama saya datang buat laporan polis di Mutiara Damansara. Malah siap diambil gambar kesan luka saya dan disoal siasat dengan mereka lebih kurang tiga jam.
"Kali kedua saat hampir tiba ke balai polis di Petaling Jaya, pihak mereka terpaksa membatalkan temu janji kerana ada acara malam sebelumnya habis lewat.
"Malah alasan mesin fotostat turut diberi hingga segala urusan ditangguh. Tapi saya bukan mahu cari fasal dengan polis. Mereka boleh berurusan dengan saya tanpa membabitkan media.
"Kenyataan dikeluarkan media itu seolah-olah saya tak pernah datang ke balai polis untuk memberikan kerjasama. Saya mahu hal ini diselesaikan segera dengan pihak berkuasa tanpa perlu mendedahkan apa saja kelemahan terjadi," katanya.
Untuk rekod Lufya membuat laporan polis berhubung kejadian berlaku di Balai Polis Kota Damansara kira-kira 6 pagi pada 29 Jun lalu.
Dalam masa sama, Lufya turut berkongsi paparan skrin bukti perbualannya bersama pihak berkuasa.
Terdahulu, Lufya berdepan detik cemas apabila anak perempuannya cuba diculik di sebuah taman permainan di Damansara dan dirinya sendiri turut dipukul dalam pergelutan terbabit. -- Gempak