Say Yes To The Dress Asia tonjol keunikan gaun perkahwinan Asia

Azyyati Ahmad
November 15, 2017 07:00 MYT
Seramai 18 pasangan akan bersama-sama Jovian dan Daphne mencari busana yang tepat buat majlis perkahwinan masing-masing.
Siri TV realiti TLC, Say Yes To The Dress (SYTTD) versi Asia akan membuat penampilan pertamanya pada 24 November ini yang bakal dihoskan oleh pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie dan pengacara Daphne Iking.
Apa yang menariknya dalam Say Yes To The Dress Asia ini busana perkahwinan dari pelbagai bangsa di Asia akan ditonjolkan, yang pasti ia akan melibatkan gabungan warna-warna meriah mengikut budaya dan adat pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan India.
Seramai 18 pasangan akan bersama-sama Jovian dan Daphne mencari busana yang tepat buat majlis perkahwinan masing-masing.
Rakaman perjalanan dalam pencarian gaun yang tepat bagi setiap pengantin akan dirakamkan dan ia pastinya akan melibatkan pelbagai emosi sebelum menjelangnya hari bersejarah itu buat semua pasangan.
“Budaya Asia yang kuat akan menampilkan perspektif berbeza dalam SYTTD versi Asia ini. Banyak kisah yang menyentuh hati yang mana faktor keluarga dan rakan memainkan pengaruh yang besar dalam keputusan pengantin perempuan,” kata Daphne yang juga merupakan perunding imej dalam SYTTD Asia.
Manakala bagi Jovian, SYTTD versi Asia ini lebih dari sekadar mencari gaun putih buat sesebuah perkahwinan.
“Apa yang membezakan acara ini adalah warna dan kepelbagaian perkahwinan Asia. Kita mempunyai pengantin dari pelbagai kaum dan anda boleh melihat budaya dan tradisi yang indah sebagai sebahagian daripada apa yang akan ditunjukkan dalam siri realiti ini,” kata Jovian yang turut membawakan beberapa busana rekaannya di dalam siri ini.
Pembikinan siri sebanyak lapan episod ini diadakan sepenuhnya di Lembah Klang membabitkan 18 pasangan pengantin.
Karya asal siri oleh Endemol Shine, SYTTD versi Asia ini akan menemui penonton pada 24 November jam 9 malam di TLC (Astro Channel 707).
#Daphne Iking #Jovian Mandagie #Say Yes To The Dress Asia #tlc
;