Sasha Saidin sertai 'Teach For The Needs'
Astro Awani
Februari 18, 2013 16:59 MYT
Februari 18, 2013 16:59 MYT
Anggota kumpulan penyanyi “Elite”, Sasha Saidin menggunakan pengalaman kerjayanya bagi menjayakan program “Teach For The Needs” menerusi tadika miliknya.
Sasha menyeru masyarakat turut sama menyumbang bahan bacaan untuk digunakan bagi mendidik kanak-kanak kurang bernasib baik.
“Teach For The Needs” adalah program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang dikendalikan Zul Fikri Zamir dan Asmidar Alias.
Sasha berkata begitu ketika melapangkan waktu untuk berkongsi kemahirannya dalam sesi di Rumah Anak Yatim Al-Khariah, Klang.
“Sentiasa memperjuangkan hak pendidikan adalah keutamaan saya semenjak mempunyai anak sendiri selain menyedari betapa pentingnya pendidikan awal ini terhadap kanak-kanak,” kata Sasha.
Sasha mendekati penghuni rumah tersebut dengan mennyampaikan kisah kanak-kanak dan mengajar subjek bahasa inggeris.
Sementara itu, Sasha menyatakan bakal menganjurkan forum “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang” pada 1 Mac depan.
Forum dijadualkan berlangsung di Kompleks Karangkraf di Shah Alam jam 8 malam yang menampilkan beberapa jemputan khas antaranya Datuk Saifuddin Abdullah, Dr Maszlee dan Hishamuddin Rais.