Sasha Saidin bersyukur terima suntikan vaksin COVID-19
Astro Awani
Januari 18, 2021 19:08 MYT
Januari 18, 2021 19:08 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika rakyat Malaysia masih menanti penuh sabar ketibaan vaksin COVID-19, artis terkenal tanah air, Sasha Saidin yang kini menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertuah kerana sudah menerimanya.
Menetap di sana sejak Februari tahun lalu, anggota kumpulan Elite dan pelakon itu sudah selesai mengambil dua dos suntikan vaksin COVID-19 di Emirates Field Hospital.
Selepas dua kali disuntik, Sasha berpendapat, dia tidak perlu begitu risau memandangkan tubuhnya sudah memperoleh pertahanan diri.
Bagaimanapun, kata Sasha, 45, itu tidak bermakna dia boleh mengambil mudah soal prosedur amalan standard (SOP) dan aspek kesihatan lain memandangkan pandemik COVID-19 belum benar-benar reda.
Dalam masa sama, Sasha bercerita, suaminya, Sirhan Wahab, 44, seorang yang amat mementingkan soal kesihatan dan sering mengingatkan dirinya betapa mereka perlu menjalani normal baharu kehidupan.
“Terima kasih kepada kerajaan UAE yang memberikan vaksin percuma. Alhamdulillah saya dan suami selesai mengambil vaksin Sinopharm buat kali kedua selepas 21 hari mengambil suntikan dos ini,” katanya berkongsi cerita dalam wawancara dengan Astro AWANI menerusi aplikasi ZOOM pada Isnin dari Dubai.
Menyambung perbualan mengenai pengalaman disuntik vaksin COVID-19, Sasha berkata, seperti orang lain di Dubai, dia dan suaminya benar-benar teruja untuk menyertai program vaksinasi itu.
Katanya, semasa hari pertama ke hospital berkenaan untuk mengambil suntikan, ribuan orang hadir dan menunggu giliran dengan penuh sabar termasuk dia dan suaminya.
Namun begitu, tiada istilah penat atau letih menunggu kerana perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di sana sangat baik.
Petugas-petugas perubatan dan barisan hadapan, ujar Sasha, melayan setiap seorang dengan ramah sekali.
Sekalipun terpaksa berada dalam kereta untuk beratur dan menunggu giliran, proses berkenaan amat teratur sekali, jelas Sasha.
Apa yang juga membuatkan Sasha bersyukur ialah, suntikan vaksin berkenaan tidak boleh meninggalkan kesan sampingan.
“Alhamdulillah, tidak ada kesan sampingan. Kata jururawat suntikan kedua lebih bersifat penggalak (booster) dan bersifat lebih ringan berbanding dos pertama yang kami ambil,” ujarnya lagi.
Bercerita lanjut mengenai situasi di Dubai, Sasha berkata, seperti di negara lain, suasana dan persekitaran masyarakat di negara yang didiaminya kini sudah jauh berubah berbanding sebelum ini.
Namun, semua itu tidak pula memberi sebarang tekanan atau rasa tidak selesa.
“Kehidupan sama normal seperti sebelum ini, cuma kerajaan UAE masih tetapkan syarat-syarat tertentu untuk keselamatan rakyat yang mana saya fikir ia sesuatu yang baik untuk kesejahteraan semua,” ujar Sasha.
Ekoran sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, Sasha dan suaminya sudah merancang untuk kembali ke tanah air untuk mejenguk ibu, anak-anak dan ahli keluarga lain.
Bagaimanapun, rancangan itu, jelas Sasha, hanya mampu untuk direalisasikan apabila penularan pandemik COVID-19 sudah semakin reda dan Malaysia juga sudah menerima vaksin.
#sasha saidin
#kumpulan Elite
#terima vaksin
#vaksin Sinopharm
#sirhan wahab
#suntikan vaksin COVID-19
#Dubai