Sarah Suhairi mahu fokus menyanyi, tolak tawaran berlakon

Eka Roslee
Januari 2, 2019 15:23 MYT
JUARA Big Stage, Sarah Suhairi mengaku ingin fokus dalam bidang nyanyian dan menolak beberapa tawaran lakonan. - Foto Instagram Sarah Suhairi
JUARA Big Stage, Sarah Suhairi mengaku ingin fokus dalam bidang nyanyian dan menolak beberapa tawaran lakonan.
Selepas berjaya menghabiskan drama pendek yang berdurasi 10 minit lakonan bersama Nabila Razali dan Syifa Melvin, Sarah ingin kembali fokus dalam kariernya sebagai seorang penyanyi.
“Setakat ni Sarah baru je berlakon satu drama, Sis Cuba, iaitu mini drama yang berdurasi selama 10 minit ada lima episod saja. Alhamdulillah dah habis dah, that was my first experience jugak tapi sarah nak try je untuk timba pengalaman.
“Sarah ada juga dapat tawaran berlakon cuma sarah tak ambil sebab ia memerlukan komitmen yang sangat lama dan sarah takut Sarah tak boleh komit sebab ada karier yang lain," katanya.
Walau bagaimanapun, 2019 bakal menjadi tahun yang agak mencabar buat pelantun lagu Pedih ini kerana beliau sedang berusaha menyiapkan album mini yang bakal dikeluarkan tahun ini.
“Sarah rasa 2019 mungkin menjadi tahun yang agak mencabar sebab Sarah dah letakkan satu harapan untuk diri Sarah sendiri keluarkan mini album, maka Sarah kena kerja keras untuk semua benda tu jadi. Insya-Allah,” tambahnya lagi ketika dihubungi Astro AWANI.
Bermula di platform media sosial, nama Sarah Suhairi menjadi sebutan selepas membuktikan kemampuannya sebagai the next big thing apabila menjuarai program Big Stage yang pertama.
#2019 #Big Stage #mini album #Nabila Razali #Nyawa dan Raga #Pedih #Sarah Suhairi #Sis Cuba #Syifa Melvin
;