Sangkar: Filem aksi MMA Malaysia yang berjaya mengusik emosi penonton
Hilmi Ismail
Ogos 23, 2019 08:11 MYT
Ogos 23, 2019 08:11 MYT
ASTRO Shaw dan Primeworks Studios bersama-sama dengan produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment baru-baru ini telah menghasilkan satu filem berlatar belakangkan sukan seni bela diri campuran (MMA).
Filem yang ditunggu-tunggu terutama oleh peminat sukan MMA itu merupakan hasil gabungan dua syarikat penerbitan filem gergasi tersebut.
Seperti yang kita tahu, MMA merupakan sukan yang pesat membangun, termasuklah di Malaysia.
Lahirnya organisasi yang mempromosikan pertarungan MMA seperti ONE Championship, Ultimate Beatdown dan Octagon Asia MMA, memeriahkan lagi suasana MMA tempatan.
Maka dengan kesempatan ini, terhasil filem MMA yang pertama di Malaysia iaitu 'Sangkar'.
Jalan cerita
Sebagai seorang yang mengikuti sukan MMA dengan rapat, pada mulanya penulis tidak menaruh harapan yang tinggi pada Sangkar, kerana kita masih belum pernah menghasilkan filem MMA.
Ini merupakan kali yang pertama. Bagaimanapun tanggapan itu penulis dah pun buang jauh-jauh.
Satu sebab ialah resepi yang dihidangkan tuan pengarah, Khabir Bhatia memang betul-betul menjadi dalam filem ini.
Jalan cerita dan plot yang dijamu seakan-akan membawa penulis ke dalam satu pengembaraan 'roller coaster' ala Universal Studio.
Bermula garang dengan aksi hebat MMA dan pergaduhan, ia kemudian membawa kita untuk mengenal erti penyesalan.
Tambah menarik apabila Sangkar turut menyelitkan elemen agama dan taubat pada Tuhan yang Esa.
Selain itu, beberapa babak komik yang ditonjolkan juga betul-betul menjadi.
Habis semua penonton dalam pawagam ketawa. Ini yang penulis maksudkan tentang Sangkar mampu mengusik emosi penonton.
Barisan pelakon
Penulis tak perlu bicara panjang tentang Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah. Mereka pelakon kelas pertama. Persembahan mereka dalam Sangkar memang 'A'.
Cuma tabik hormat penulis pada kali ini untuk Ray, ya, Ray dari JoHaRa Pagi ERA. Bertahun-tahun sebagai penyampai radio, Ray dengan berjayanya mampu menyampaikan watak komikalnya dengan berkesan.
Resepi watak komik dan elemen kelakar adalah acuan biasa dalam sesebuah filem, namun bukan semua watak dan elemen kelakar dalam filem menjadi.
Satu lagi babak yang memberi kesan ialah 'love hate relationship' antara watak Adam dan Johan.
Jangan risau, hubungan mereka bukan ke arah 'itu'. (Jangan fikir bukan-bukan!)
Mereka bermula sebagai seteru di dalam sangkar MMA, kemudian bertukar menjadi musuh sehinggalah akhirnya menjadi rakan baik yang boleh bekerjasama.
Kesimpulan
Walaupun Sangkar dipasarkan sebagai sebuah filem MMA, tetapi anda tidak perlu menjadi peminat MMA untuk terhibur dengan filem ini.
Bagi sesiapa yang tidak pernah langsung menyaksikan aksi MMA atau tak pernah minat MMA, maka golongan inilah yang harus 'dikerah' untuk tonton Sangkar.
Ini kerana semua aksi MMA dalam filem ini semuanya 'legit' dan semuanya 'lit'.
Percayalah, Sangkar mampu menghiburkan serta memberi sedikit peringatan dan pengajaran buat anda semua.
Maka dengan itu, berduyun-duyunlah anda ke pawagam berdekatan pada 29 Ogos ini untuk menyaksikan filem Sangkar. Kita 'support' filem tempatan.
#Astro Shaw
#filem MMA pertama Malaysia
#MMA
#Primeworks Studios
#Remy Ishak
#sangkar
#Sangkar menyentuh emosi
#sukan MMA
#Zul Ariffin