'Sangat berterima kasih...' - Daniel Craig akhirnya ucap selamat tinggal kepada James Bond
Agensi
September 26, 2021 18:27 MYT
September 26, 2021 18:27 MYT
LONDON: Daniel Craig menyangka dia akan mengakhiri komitmennya sebagai James Bond menerusi filem Spectre, namun aktor itu berkata, edisi kelima dia memainkan watak ejen rahsia British dalam No Time To Die, membolehkannya melengkapkan perjalanan kariernya.
Selepas 60 tahun selepas filem Bond pertama, Dr No ditayangkan, ejen perisik kegemaran panggung, yang terkenal dengan minat terhadap kereta kuasa tinggi dan gajet hebat, kembali ke pawagam minggu depan dengan edisi ke-25.
Akhirnya, jutaan peminat filem itu akan dapat menontonnya setelah 18 bulan tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Menelan belanja sekitar AS$200 juta untuk diterbitkan, No Time To Die bakal menyaksikan Bond kembali dari kehidupan santai di Jamaica sesudah bersara, semata-mata untuk memburu seorang lagi penjahat baharu yang dilengkapi teknologi berbahaya.
"Saya tidak sangka saya akan meneruskan satu lagi filem selepas Spectre. Saya sebenarnya sudah anggap saya sudah selesai.
"Namun saya gembira dapat peluang untuk kembali dan menyertai filem ini. Kami sudah temui banyak pengakhiran. Kami cuba untuk menceritakan satu perjalanan kisah menerusi semua filem Bond yang saya lakonkan. Semuanya saling berkait dan filem ini adalah penutupnya," kata Craig kepada Reuters.
Dengan durasi hampir tiga jam, filem yang diarahkan Cary Joji Fukunaga itu menjanjikan aksi-aksi Bond, adegan kejar-mengejar dan lagak ngeri di lokasi yang menakjubkan, termasuk penerokaan gua di bandar Matera di selatan Itali.
Filem terbahari itu memperkenalkan watak Nomi, yang dimainkan oleh aktres kulit hitam, Lashana Lynch, seorang ejen yang hanya dikenali dengan kod 00 oleh majikan lama Bond iaitu MI6. Watak Nomi dilihat sangat kuat dan berkemahiran, sama seperti Bond.
"Wataknya juga seperti manusia biasa. Selama ini wataknya didiamkan dan datangnya dari latar yang bagus serta menggunakan apa juga peluang dan mahu melaksanakannya. Dia pernah meninggalkan impak ketika bersama MI6 dan akan terus melakukan demikian.
"Ini suatu pencapaian untuk wanita kulit hitam, untuk budaya saya, dan juga francais ini," ulas Lynch.
Aktres Perancis, Lea Seydoux, kembali menjayakan wataknya sebagai Madeleine Swann dari filem Spectre.
"Cary mahu meneroka lebih dalam lagi watak Madeleine. Dalam satu sisi, dialah sebenarnya nadi filem ini dan hubungannya dengan Bond akan dikembangkan," jelas Seydoux.
Pelakon Rami Malek menyertai francais itu, sebagai salah seorang penjahat paling berharga dalam sejarah Hollywood, iaitu watak Safin.
"Saya mempelajari dari setiap penjahat dalam sejarah filem ini dan saya telah bersedia," katanya dalam satu sesi wawancara Podcast.
Selepas ditangguhkan tiga kali sejak April 2020, No Time To Die akan membuka tayangan perdananya pada Selasa di London.
"Saya sangat berterima kasih kerana diberi peluang ini... Semua kenangan dan momen yang luar biasa, dan kesempatan bekerja dengan bakat-bakat hebat. Semua ini mengubah hidup saya," ujar Craig.