'Sampah sarap jangan dibawa masuk dalam industri' - XPDC Kita Pengyu

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 27, 2024 22:06 MYT
XPDC Kita Pengyu menganggap kehadiran band tiruan yang menggunakan nama dan lagu mereka tidak seharusnya dilayan bahkan jauh sekali tidak layak untuk bersaing dalam industri muzik tanah air.
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja dianggap tiada nilai dalam industri, malah XPDC Kita Pengyu menganggap kehadiran band tiruan yang menggunakan nama dan lagu mereka tidak seharusnya dilayan bahkan tidak layak untuk bersaing dalam industri muzik tanah air.
Manakan tidak, mereka bukan sahaja tidak menyumbang tetapi juga turut merosakkan kualiti lagu yang dimainkan memandangkan kualiti persembahan mereka tidak mencapai paras standard yang sepatutnya.
Menurut orang lama dan juga pemain bass kumpulan XPDC Kita Pengyu, Zuar, sepatutnya band tiruan yang cuba menggunakan nama dan lagu-lagu XPDC dianggap sama seperti 'perompak' hasil karya yang tidak malu menjaja maruah mereka dengan perbuatan yang sering sahaja mengundang cemuhan peminat XPDC Kita Pengyu.
"Malah kita amat kesian dengan mereka ini yang ada masanya seperti pengemis yang mahukan perhatian orang ramai untuk meminati mereka. Sedangkan mereka terlupa bahawa kerja mereka tidak lain hanya mencuri nama dan lagu untuk mengaut keuntungan peribadi semata.
"Mereka ni sebenarnya kurang kasih sayang dan terpaksa gunakan nama orang lain untuk menarik minat orang ramai. Ye lah, kalau guna nama sendiri mereka tak mampu tarik minat orang apatah lagi dalam keadaan bakat mereka yang sentiasa mengudang kritikan semua pihak," katanya ketika diminta mengulas mengenai sebuah band baru yang masih ingin menggunakan nama XPDC.
Malah, katanya dakwaan individu yang mahu namanya digelar 'Bapa XPDC' juga mengundang hilai tawa anggota XPDC Kita Pengyu yang beranggapan bahawa individu terbabit tiada langsung terbabit dengan mereka.
Dakwaan kononya syarikat rakaman Life Record juga memberi restu dan mengiktiraf individu serta aktiviti mereka juga dianggap hanyalah sekadar laparkan publisiti murahan untuk mendapat tempat di kalangan media dan peminat semata-mata.
"Mana ada Life Record kenal pun dengan mereka tu, tak pernah tercatat dalam sejarah kami dan Life Record pun. Agaknya dia terlampau bercita-cita sangat nak kejar glamer kot.
"Biasalah, kita pun tak kisah pun pasal dia tu dan rasanya dah terlalu banyak dah peminat yang kritik dengan dakwaan beliau tu. Kesian pula kami tengok, tapi tak apalah moga Allah beri lah hidayah pada dia nanti tu," Jelas Zuar lagi sambil ketawa ketika dipertontonkan dengan video dakwaan individu terbabit.
Sementara itu pengurus XPDC Kita Pengyu, Yazid Selamat, pula menjelaskan bahawa Life Record mempunyai hubungan akrab dengan pihaknya sehingga kini.
Bahkan, katanya sepanjang XPDC Kita Pengyu ditubuhkan tidak pernah pula sebenarnya nama individu berkenaan disebut oleh syarikat rakaman terbabit atau menyatakan peranan yang pernah dimainkan oleh beliau baik dalam perjalanan seni XPDC ataupun dalam industri.
"Sampah sarap macam ni tak perlu sebenarnya di bawa ke dalam industri kerana ia hanya mendatangkan kerosakan imej muzik tanah air semata.
"Golongan sebegini pun sebenarnya nak cari keuntungan peribadi semata-mata, jauh sekali untuk menyumbang sesuatu yang baik kepada negara... sekadar publisiti murahan agaknya tu," jelas Yazid yang turut sinis dengan dakwaan yang dikeluarkan oleh pihak tersebut.
Tambahnya lagi, media di Malaysia sebenarnya juga sudah matang dan masak dengan golongan seperti mereka dan biasanya tidak pernah membawa cerita sebegitu ke platform mereka.
Bahkan mereka beranggapan bahawa kisah seperti itu langsung tiada nilaian untuk diketengahkan sedangkan masih banyak lagi isu yang berkualiti dan perlu dicari.
"Kebanyakkan wartawan senior yang mengenali kami sejak lama tak pernah bawapun atau utarkan isu-isu sebegini sebenarnya.
"Tapi tak apalah sekarang ni macam-macam cara orang mahu dapatkan perhatian. Lagipun kami dan peminat tegar XPDC Kita Pengyu tak kisahpun dengan cerita mereka tu," jelas Yazid lagi.
Baru-baru ini kecoh isu penggunaan nama dan lagu kumpulan heavy metal tersohor XPDC yang mengundang pelbagai kritikan oleh semua pihak termasuk Karyawan yang mengkritik mereka yang dianggap cuba mengambil kesempatan untuk keuntungan peribadi.
Malah kemunculan mereka juga turut dicemuh oleh kebanyakkan peminat XPDC yang telah mengikuti perkembangan kumpulan tersebut sejak dari penubuhan mereka iaitu sekitar era 80an.
Perkara ini berlaku dan didakwa semakin menjadi-jadi sejak penyanyi asal kumpulan tersebut Syed Ismail Syed Ibrahim meninggal dunia pada April 2023.
#XPDC Kita Pengyu #sampah sarap #industri muzik #Zuar
;