Salih Yaakob belum berhasrat tambah lagi 'kuota' isteri

Azyyati Ahmad
Januari 30, 2016 14:31 MYT
Jelas Salih, perceraian dengan isteri keduanya Nur Raha Hamad, 47, yang dirahsiakan selama kira-kira lima bulan daripada umum, dilaluinya sekadar mampu - Foto fail
Pelawak dan penyampai radio, Salih Yaakob belum berhasrat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas isteri keduanya buat masa ini selepas mereka bercerai pada September tahun lalu.
Salih, 55, yang sebelum ini sering 'dicemburui' ramai lelaki lain kerana keistimewaannya hidup harmoni bersama empat isteri berkata, masih awal baginya untuk memikirkan perkara tersebut.
“Saya menerima apa yang tertulis oleh Allah sebagai takdir hidup saya dan tidak menyalahkan sesiapa.
“Bagi saya, bukan satu kewajipan untuk beristeri empat atau mencukupkan empat. Apa yang penting adalah kewajipan kepada Yang Esa. Saya hidup kerana Allah SWT dan saya redha dengan suratan azali,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas Salih, perceraian dengan isteri keduanya Nur Raha Hamad, 47, yang dirahsiakan selama kira-kira lima bulan daripada umum, dilaluinya sekadar mampu walaupun usia perkahwinan mereka sudah menjangkau 23 tahun.
“Itu yang dia nak, dia dah dapat. Saya pun buat pengumuman perceraian ini pun kerana dia sudah selamat berkahwin. Bukan lagi tanggungjawab saya dan tak ada apa nak diceritakan lagi,” kata Salih.
Sepanjang perkongsian hidup dengan Nur Raha, mereka dikurniakan seramai lima anak yang berusia 13 hingga 22 tahun.
Sambil menyifatkan kisah itu sebagai satu peralihan episod dalam hidup, Salih tetap bersyukur dengan penerimaan dan sokongan anak-anak serta tiga orang isterinya lagi.
“Alhamdulillah, anak-anak dan isteri-isteri lain menerima perkara ini dengan baik. Anak-anak juga ada kehidupan sendiri yang kita pun tak tahu lagi jalannya bagaimana nanti,” kata Salih yang kini mengendalikan slot petang di Sinar FM bersama Feeya Iskandar.
Salih bagaimanapun lali dan menyedari situasi tersebut akan mengundang usikan daripada pelbagai pihak.
"Wartawan ada saja hendak bertanya itu dan ini. Kenapa, ada yang sedang beraturkah?" selorohnya.
#Nur Raha Hamad #Salih Yaakob #Sinar FM
;