Saleem ditidurkan kerana kecederaan - Isteri
Sinar Harian
September 27, 2018 13:26 MYT
September 27, 2018 13:26 MYT
PENYANYI yang juga vokalis kumpulan Iklim, Saleem Abdul Majid, masih berada dalam keadaan koma, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu.
Menurut isterinya, Julia Bachok, suaminya itu sebenarnya sudah sedarkan diri, namun terpaksa ditidurkan bagi membolehkan kecederaan pada paru-paru kanannya pulih selain mengurangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung sekiranya dia berada dalam keadaan sedar.
"Sebetulnya Saleem sudah sedar sekejap semalam, tetapi dia tidak dapat bergerak atau bercakap.
"Imbasan pada paru-paru yang dibuat doktor juga mendapati kecederaan dialaminya masih agak teruk jadi mereka mengambil keputusan untuk tidurkan dia.
"Ini bagi membolehkan kecederaan itu pulih dan kalau Saleem berada dalam keadaan sedar mungkin dia terpkasa menanggung kesakitan jika bergerak kerana tulang rusuknya juga patah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Ketika ini, Saleem masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.
Dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu, motosikal ditunggang Saleem dilanggar sebuah kereta dari arah belakang ketika penyanyi itu keluar membeli barang.
Kejadian itu berlaku berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras sebelum Saleem dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, Julia berkata laporan mengatakan 12 tulang rusuk Saleem patah adalah tidak benar sebaliknya hanya sembilan yang patah akibat kemalangan itu.
Jelas Julia, salah satu daripada tulang rusuk itu tertusuk ke bahagian paru-paru kanan suaminya itu.
"Kecederaannya memang agak parah tetapi dia berada dalam keadaan stabil ketika ini cuma masih ada darah yang keluar daripada paru-parunya.
"Malah Saleem masih menggunakan alat bantuan pernafasan akibat paru-parunya yang cedera," jelasnya.
Sementara itu, Julia berharap semua peminat terus mendoakan agar Saleem kembali pulih seperti sedia kala.