Sada Borneo pukau juri Asia's Got Talent, mula kumpul peminat baru
Astro Awani
April 3, 2015 11:45 MYT
April 3, 2015 11:45 MYT
Kumpulan pemuzik tempatan Sada Borneo berjaya memukau juri di acara saringan Asia’s Got Talent yang diadakan di Studio Pinewood Iskandar Malaysia di Johor malam tadi.
Terdiri daripada lima orang anak muda, Sada Borneo mempersembahkan muzik akustik etnik kreatif di hadapan empat juri iaitu Anggun, David Foster, Melanie C dan Vanness Wu.
Sada Borneo yang membawa maksud 'muzik dari Borneo' mempersembahkan gabungan alunan bunyi dari alat muzik tradisional seperti sape, bungkau dan seruling di samping alat muzik moden seperti keyboard, bass dan gitar serta menyuntik elemen semula jadi seperti bunyi hujan dan burung, semalam.
Sebaik sahaja tamat persembahan, kumpulan Sado Borneo berjaya mendapat tepukan gemuruh dari penonton dan ‘standing ovation’ dari Vanness.
“Bagi saya muzik kamu seperti magis, kamu seolah-olah bawa saya ke dunia lain” kata Vanness.
“Kita pernah lihat gabungan muzik moden dan tradisional yang pada akhirnya tidak menjadi. Tetapi.... kamu berjaya!” kata Melanie.
Persembahan mereka berjaya mendapat ‘4 YES’ daripada juri.
Menurut Sada Borneo, kejayaan tersebut diumpamakan bagai impian menjadi kenyataan.
“Mendapat ‘4 YES’ adalah sebuah impian yang menjadi kenyataan. Tetapi mendapat ucapan tahniah dan sokongan dari anda semua adalah kegembiraan yang sebenar.
“Kesemua kata-kata ucapan yang kami terima dari Facebook, Youtube dan Instagram membuat kami terfikir bahawa muzik tradisional kali ini punya peluang untuk bersaing,” kata kumpulan tersebut di akaun rasmi Facebook mereka.
Sada Borneo ditubuhkan pada tahun 2011 kini dianggotai 11 ahli yang berasal dari pelbagai negeri di Malaysia.
Dengan kejayaan di acara saringan itu, kumpulan Sado Borneo berjaya melangkah ke peringkat seterusnya.
Peserta-peserta yang berjaya akan sekali lagi bertanding di hadapan juri untuk ke peringkat Separuh Akhir.
Asia’s Got Talent disertai peserta-peserta dari 14 buah negara seluruh Asia dan boleh ditonton di saluran AXN Asia setiap Khamis.