Ryan Seacrest hos baharu Wheel of Fortune

Agensi
September 10, 2024 11:35 MYT
Mulai semalam, Ryan Seacrest memikul tanggungjawab sebagai hos Wheel of Fortune menggantikan Pat Sajak yang mengendalikannya selama 41 tahun. - Gambar Instagram @ryanseacrest
BUAT pertama kali dalam sejarah hampir 8,000 episod, program kuiz popular antarabangsa, Wheel of Fortune tidak lagi dibuka dengan ungkapan 'hello' daripada hos Pat Sajak.
Sebaliknya, bermula semalam, personaliti tersohor Hollywood, Ryan Seacrest memikul tanggungjawab itu selepas 41 tahun Sajak mengendalikannya.
Seacrest menyertai program itu bersama-sama rakan penyampai Vanna White.
Seacrest sebelum ini menempa kemasyhuran sebagai pengacara program popular American Idol.
"Saya masih tidak percaya nasib saya berada di sini bersama anda malam ini untuk meneruskan legasi persembahan yang luar biasa ini dengan anda semua, dan, sudah tentu, kawan baik saya Vanna White," kata Seacrest semasa membuka rancangan itu.
“Terima kasih atas sambutan yang sangat hangat.”
Sebelum kuiz dimulakan, Seacrest berkata, dia mengakui sangat terkesan dengan persaraan Sajak pada penghujung musim ke-41.
“Hos Wheel of Fortune adalah pekerjaan impian. Saya peminat rancangan ini sejak kecil menontonnya di Atlanta bersama keluarga, dan saya tahu betapa istimewanya Wheel berada di ruang tamu anda sejak 40 tahun lalu,” katanya.
"Saya amat bersyukur kerana dijemput masuk. Saya juga tahu saya mempunyai tugas yang sangat besar untuk dipikul."
Dalam episod pertamanya, Seacrest membawa semangat yang bertenaga dan sifat klasiknya yang suka berjenaka. - Agensi
#Wheel of Fortune #Ryan Seacrest #Pat Sajak #hos baharu Wheel of Fortune
;