RWMF 2024: Zainal Abidin tunggu 20 tahun untuk kemunculan sulung

Astro Awani
Jun 29, 2024 18:29 MYT
Zainal Abidin menegaskan dirinya tidak berkompromi dengan sebarang pencabulan terhadap alam sekitar kerana ia adalah prinsip dan perjuangan sepanjang hayatnya. - Astro AWANI
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Dunia 2024 (RWMF 2024) menyaksikan penampilan sulung artis tersohor negara Datuk Zainal Abidin.
Penghibur berusia 64 tahun yang terkenal dengan rentak lagu dan lontaran vokalnya yang tersendiri itu mendedahkan beliau sebenarnya sudah lama ditawarkan untuk beraksi di festival bertaraf dunia itu.
Bagaimanapun beliau memilih waktu yang sesuai untuk menerimanya selepas menyaksikan sendiri keseriusan penganjur dan pengunjung menjaga alam sekitar di Kampung Budaya Sarawak, lokasi berlangsungnya RWMF sejak 27 tahun lalu.
"RWMF telah menjemput saya sejak 20 tahun lalu tetapi saya menolaknya kerana saya menunggu masa yang sesuai untuk berada di sini kerana saya menunggu sama ada festival ini memberi impak kepada alam sekita," kata penyanyi yang popular dengan lagu malar segar, Hijau itu.
Jelas Zainal kehadirannya di RWMF 2024 bukan hanya untuk mempersembahkan muzik pada masa sama mahu memastikan soal alam sekitar tidak diabaikan kerana ia adalah projek sepanjang hayatnya
"Saya gembira kerana ianya tiada. Mereka ambil berat mengenai sisa buangan, kitar semula dan banyak lagi perkara berkaitan alam sekitar yang mungkin timbul ketika festival ini berlangsung. Saya juga sempat membuat rondaan (bagi memastikannya)," ujarnya.
Tambah Zainal, Hijau adalah sebuah lagu alam sekitar dan lagu itu telah membuka mata banyak pihak untuk memperjuangkan bumi daripada dicemari demi generasi akan datang.
"Kita berbicara soal anak -anak yang tidak boleh lagi mandi sungai, tiada buah dan makanan dan semua orang berjuang dengan alam sekitar jadi kesedaran amat penting,"jelasnya lagi.
Zainal percaya mesej dalam lagu ciptaan Mukhlis Nor dan diterbitkan Roslan Aziz itu telah sampai kepada 99.9 peratus rakyat Malaysia malah telah membangkitkan kesedaran mengenai alam sekitar bukan hanya kepada individu malah pihak kerajaan dan swasta.
"Selepas 32 tahun Hijau dilancarkan ia telah sampai dan menimbulkan kesedaran alam sekitar kepada kepada hampir 99.9 peratus rakyat Malaysia.
"Namun yang melakukan usaha (memelihara alam sekitar) tidak lebih daripada 35 peratus termasuk dalam sektor swasta dan kerajaan namun angka ini meningkat saban hari.
"Saya gembira menyaksikan penganjur RWMF fokus kepada mengurangkan impak festival ini kepada alam sekitar, atas sebab itu saya hadir di sini, jelasnya.
Bakal menggegarkan pentas RWMF2024 malam ini, Zainal akan menghiburkan peminat dengan beberapa lagu popularnya dalam Bahasa Melayu.
#RWMF 2024 #Datuk Zainal Abidin #Sarawak #hijau
;