RWMF 2024: Kitaro, legenda yang tidak mahu berhenti belajar mencipta muzik

Firdaus Azil
Jun 29, 2024 16:05 MYT
Kitaro yang sudah berusia 71 tahun dan menghasilkan 24 album, masih merasakan proses pembelajaran tidak pernah terhenti. - Gambar/ FB Santa Lau
KUCHING: Sudah merasai kemanisan Grammy Award, Golden Globe Award dan Asia Pacific Music Awards, itu bukan tiket untuk Masanori Takahashi atau lebih dikenali sebagai Kitaro untuk merasakan dirinya di kemuncak industri muzik.

Ringkasan AI
  • Kitaro, yang telah memenangi anugerah Grammy, Golden Globe, dan Asia Pacific Music Awards, masih merasakan proses pembelajaran muziknya belum selesai meskipun sudah menghasilkan lebih 24 album sejak 1977.
  • Kitaro mengagumkan penonton di Rainforest Music Festival di Kuching, Sarawak, dengan karya epiknya seperti "Matsuri" dan "Silk Road". Beliau juga menghadiri bengkel di Kampung Budaya Sarawak dan meluahkan rasa teruja untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia.
  • Kitaro mendedahkan beliau tidak mempunyai pendidikan formal dalam muzik. Inspirasi muziknya datang dari pengalaman hidup dan persekitaran alam semula jadi, termasuk bunyi-bunyian dari alam yang dijadikan elemen penting dalam karyanya.

Dengan lebih 24 album terhasil sejak memulakan perjalanan karier muziknya pada 1977, legenda berusia 71 tahun itu merasakan proses pembelajaran tidak pernah terhenti.
Sewaktu ditemui media sempena Rainforest Music Festival di Kuching, Sarawak baru-baru ini, Kitaro mengakui setiap kali beliau mendengar irama ‘synthesizer’, dirinya seolah-olah dibawa kembali ke 50 tahun lalu.
“Daripada synthesizer itu, kita seperti boleh mencipta irama untuk senario sesebuah penceritaan, dan itu yang saya mulakan 50 tahun lalu, setengah abad lalu.
“Dan ketika ini, saya masih mencipta, dan mempelajari dari segi kerohanian dan pergerakan semula jadi, dan mengaplikasikannya melalui synthesizer. Jadi, biarpun saya sudah mencipta banyak lagu, tetapi saya masih belajar,” katanya lagi.
Kitaro memukau lautan manusia di SCV Santubong
Buat julung-julung kalinya, pengunjung Rainforest Music Festival kali ini disajikan dengan persembahan Kitaro, yang merupakan antara tarikan atau keistimewaan utama penganjuran Rainforest Music Festival kali ini,
Rata-rata mereka berkata, karya epik seperti Matsuri, Silk Road, Estrella dan Dance of Sarasvati bukan sahaja tidak mengecewakan, malah memukau minda dan perasaan pengunjung yang berpeluang melihat dan mendengarnya secara terus.
Selain sidang media, Kitaro juga sempat meluangkan masa menghadiri bengkel di pentas teater Kampung Budaya Sarawak.
Beliau antara lain melahirkan rasa terujanya kembali menghiburkan peminatnya di Malaysia, kali ini di hutan hujan tropika di kaki Gunung Santubong.
Dalam pada itu Kitaro mendedahkan beliau sama sekali tidak mempunyai pendidikan formal dalam muzik.
Sebaliknya, dedahnya lagi, inspirasi menghasilkan muzik yang begitu menyentuh hati pendengar adalah terjemahan daripada pengalaman hidupnya dan bagaimana dia membesar di persekitaran yang menenangkan.
Muzik, kata Kitaro, adalah bagaimana beliau menyalurkan tenaga kerohanian kepada khalayak yang mendengar.
“Saya pernah tinggal di kawasan pergunungan di Jepun dan di Colorado, Amerika Syarikat. Saya pernah tinggal di kawasan yang ketinggiannya mencecah 3,000 meter dari paras laut. Saya pernah datang ke Kota Kinabalu kira-kira 40 tahun lepas, dan kali ini saya berada di Sarawak.
“Hidup bersama alam semula jadi, di mana kita akan mendengar bunyi dan muzik, alunan kicauan burung-burung, hembusan angin, yang datang dari muzik saya, kerana itu adalah elemen terpenting dalam karya saya. Saya mahu mengadunkannya dengan muzik,” katanya lagi.
Selain Kitaro, RWMF 2024 juga menampilkan beberapa lagi pemuzik hebat antaranya Datuk Zainal Abidin, Alena Murang, Salam Musik, Rizal Hadi and Folk, dan Tribal Tide.
#Kitaro #Rainforest World Music Festival #musik dan alam sekitar #Kuching
;