RWMF 2024: Hujan lebat, peminat Zainal Abidin setia menunggu

Jasmine Abu Bakar
Jun 29, 2024 00:29 MYT
Walaupun hujan lebat sebelum persembahan bermula, ribuan peminat muzik Zainal tetap setia menunggu kemunculan penyanyi lagu evergreen Hijau. - Gambar Astro AWANI
SANTUBONG: Manis, Khayalan dan Ikhlas Tapi Jauh oleh penghibur terkenal negara, Datuk Zainal Abidin antara lagu yang bergema di pentas utama Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 pada malam kedua festival di Kampung Budaya Sarawak.
Walaupun hujan lebat sebelum persembahan bermula, ribuan peminat muzik Zainal tetap setia menunggu kemunculan penyanyi lagu evergreen Hijau.
Sebaik persembahan Zainal bermula, perkarangan pentas utama bergema dengan sorakan peminat penyanyi berasal dari Johor Bahru itu.
Berbaju hujan dan berpayung kerana masih hujan renyai, ramai yang menari dengan rentak akustik dan getaran vokal Zainal.
Ternyata penantian selama 20 tahun untuk mengambil pentas di RWMF berbaloi buat ribuan peminatnya di Borneo dan seluruh dunia.
Istimewanya persembahan malam ini, Zainal turut menampilkan lagu baharunya Tiba Masa.
Turut berkenan mencemar menyaksikan persembahan Zainal pada malam kedua konsert RWMF, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin diiringi Menteri Pelancongan Kesenian & Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Karim Rahman Hamzah.
Sebelum Zainal mengambil pentas, pemuzik Sape dari Sarawak, Alena Murang turut memberikan persembahan bertenaga dengan beberapa lagu hit termasuk Lilin.
Diikuti kumpulan pemuzik dari Ranau, Sabah, Tuni Sundatang yang menggabungkan elemen rock dan alat muzik tradisional.
Pengunjung RWMF juga dipersembahkan dengan pemuzik dari Algeria, Imarhan dan Nini dari Taiwan.
#RWMF 2024 #rentak akustik #hujan renyai #lagu evergreen
;