Rupanya sikap sebenar artis baru sekadar nak orang kenal untuk ceburi dunia bisnes
Gempak
Jun 3, 2018 18:09 MYT
Jun 3, 2018 18:09 MYT
SEGELINTIR artis baru yang kini ramai mewarnai industri hiburan tempatan sebenarnya mempunyai niat hanya mahu membina nama semata-mata sebelum terjun ke bidang bisnes.
Perkara itu diakui pengarah filem terkenal, Osman Ali yang bertanyakan sendiri pada artis baru mengenai hasrat mereka masuk ke dalam bidang seni ketika ini.
"Pernah bertanya beberapa orang artis baru, kenapa nak jadi pelakon? Jawabnya, sebab saya nak berniaga. Bila orang dah kenal nama saya, so saya akan jual produk nama saya sendiri," katanya menerusi statusnya di Facebook, semalam.
Pengarah filem popular Anak Halal dan Ombak Rindu menyatakan pendirian artis baru itu cukup berbeza dengan hala tuju artis zaman dahulu.
"Niat utk memperjuangkan seni sudah mati," katanya.
Jika difikirkan memang ramai artis tidak kira pelakon dan penyanyi membabitkan diri dalam bidang bisnes sama ada makanan, butik, pakaian dan salon kecantikan.
Segelintir artis ini memberi alasan mereka mahu membuat persediaan untuk meraih pendapatan yang lebih stabil pada masa akan datang jika tidak lagi mendapat tawaran kerja baru sebagai artis.
Sebelum ini ramai artis berjaya dalam bisnes yang boleh dijadikan contoh antaranya Datuk Rosyam Nor, Datuk Khadijah Ibrahim, Fizo Omar, Dynas Mokhtar, Risteena dan Nora Danish. - Teks oleh: Elrafaei Sapi