Rupanya Bront Palarae pernah belajar dengan arwah Mamat Khalid, puji bakat Amen

Gempak
Mac 8, 2022 11:00 MYT
Bront mendedahkan pernah menjalani latihan industri (intership) bersama Mamat Khalid. - Astro Gempak
PELAKON hebat, Bront Palarae melihat anak Allahyarham Mamat Khalid, Amen memiliki potensi yang besar dalam bidang pengarahan.
Menurut Bront, dia mengenali Amen sejak kecil dan melihat bagaimana anak muda itu begitu bersemangat sama seperti arwah bapanya.
“Saya mengenali Amen sejak dia berusia empat? Lima tahun? Ya memang benar dia seorang yang sangat bagus.
“Namun begitu saya juga merasakan ada keperluan untuk Amen mencari ‘suara’nya sendiri tetapi dari segi potensi, memang tidak dinafikan, ia ada dalam darah dagingnya,” katanya ketika dalam temu bual bersama HITZ.fm.
Berkongsi momen bersama Allahyarham, Bront mendedahkan pernah menjalani latihan industri (internship) bersama Mamat Khalid.
“Arwah merupakan seorang yang saya anggap seperti abang, kawan dan guru. Dialah yang memberikan peluang besar kepada saya.
“Kami pernah bekerjasama buat pertama kali adalah pada tahun 1999, ketika itu saya masih belajar dan menjalani latihan praktikal di set penggambaran arwah.
“Ketika itu untuk filem pertama arwah iaitu 'Lang Buana'. Jadi jalinan hubungan kami segalanya bermula dari situ.
“Pemergian arwah adalah satu kehilangan yang amat besar, bukan untuk saya sahaja tetapi juga untuk negara.
“Sila tonton kesemua hasil naskhah arwah… Saya rasa mereka hanya menyedari karya-karya yang popular terkini yang dihasilkan beliau.
“Saya rasa selepas Man Laksa, Zombi Kampong Pisang di mana bila anda menyebut ‘Kampong Pisang’, itulah yang paling menambat hati dan dekat dengan hati warga Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bront juga menyarankan para pembikin filem untuk menonton kesemua filem arahan Mamat Khalid kerana karyanya memiliki ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri.
“Untuk pelakon dan juga pembuat filem, saya cadangkan anda melihat hasil karya Allahyarham, begitu juga dengan penonton.
“Saya merasakan hasil air tangan arwah ini timeless, anda boleh menonton tidak kira tahun, mungkin bertahun dari sekarang dan karyanya tetap relevan.
Terdahulu, Amen Khalid pernah mengarahkan telefilem "Sis Ngensot" dan "Pochong" yang ditayangkan di saluran BOO (404).
*Artikel asal disiarkan di Gempak.
#Mamat Khalid #Amen #Bront Palarae #pengarah
;