Rumah tangga Zulin Aziz berantakan?
Astro Awani
April 17, 2023 10:56 MYT
April 17, 2023 10:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Zulin Aziz mengejutkan peminat dan pengikutnya di akaun Instagram dengan berkongsi hantaran mengenai status rumah tangganya.
Dalam hantaran yang dikongsi sekitar 40 minit lalu, Zulin memberi bayangan rumah tangganya dengan Farhan Norzaini yang berusia 14 bulan seperti tidak dapat dipertahankan lagi.
Bersama sekeping foto pernikan mereka pada 20 Februari 2022 itu, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz turut menulis kapsyen yang mencetus tanda tanya ramai.
Berikut petikan nota yang ditulis Zulin mengiringi foto berkenaan:
“Mungkin sampai sini saja kisah kami. Tiada persefahaman.
“Semoga yang baik2 untuk masa akan datang
InshaAllah,masa merawat semuanya.”
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI di ruangan komen, rata-rata pengikut Zulin terkejut dengan hantaran yang dibuat artis berkenaan.
Sebilangan besar daripada yang memberi komen mengharapkan perkara itu tidak benar dan mereka mendoakan yang terbaik buat rumah tangga Zulin dan Farhan.
Zulin, 34, dan Farhan, 36, disatukan sebagai suami isteri pada 20 Februari 2022 di Masjid Negara.
Pernikahan mereka berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan komen daripada Zulin mengenai laporan ini.