Rumah Sean "Diddy" Combs diserbu berkaitan siasatan pemerdagangan seks

Astro Awani
Mac 25, 2024 07:00 MYT
Masih tidak jelas jika Combs merupakan suspek utama dalam siasatan tersebut. - Foto fail/REUTERS
NEW YORK: Dua kediaman milik penyanyi rap terkenal Hollywood, Sean "Diddy" Combs di Los Angeles dan Miami diserbu pada Isnin oleh agen Siasatan Keselamatan Tanah Air (HSI) dan agensi lain.
Serbuan berkenaan berkaitan siasatan pemerdagangan seks yang dihadapi artis berkenaan, kata pegawai penyiasat kepada The Associated Press.
Namun begitu, masih tidak jelas jika Combs merupakan suspek utama dalam siasatan tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan HSI memaklumkan, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama polis, HSI Los Angeles dan HSI Miami.
Setakat ini wakil dari pihak Combs belum mengeluarkan sebarang komen berkenaan serbuan tersebut.
Combs menghadapi beberapa tuduhan serangan seksual yang dikemukakan baru-baru ini termasuk oleh penyanyi R&B Cassie yang diselesaikan tahun lepas.
Seorang lagi mangsa menuduh Combs merogolnya 20 tahun lalu, ketika dia masih berusia 17 tahun.
Mangsa yang tidak dinamakan itu berkata kejadian bermula ketika dia bertemu dengan Harve Pierre, presiden label rakaman milik Combs, Bad Boy Entertainment di Detroit pada tahun 2003.
Pierre dikatakan telah membawanya ke studion rakaman di New York menaiki jet peribadi di mana dia diberi dadah bersama alcohol sehingga tidak sedarkan diri.
Dia mendakwa telah dirogol bergilir-gilir oleh Pierre, Combs dan seorang lelaki lagi yang tidak dikenali.
Combs sehingga kini menafikan tuduhan itu.
#Sean Diddy Combs #pemerdagangan seks #serbuan #Siasatan Keselamatan Tanah Air
;