Rumah 'Edward Scissorhands' hendak dijual... Peminat Johnny Depp pasti teruja!

Agensi
Mac 12, 2022 12:55 MYT
Filem Edward Scissorhands yang menampilkan aktor Johnny Depp sangat popular pada awal tahun 90-an. - Google Map / Movie Screenshot
JIKA anda seorang peminat tegar dunia sinematografi Tim Burton, mungkin ini suatu yang mengimbau nostalgia. Lebih daripada itu, ini mungkin peluang untuk menjadi tuan rumah kepada salah satu hartanah yang ikonik.
Laman web jualan hartanah Realtor.com menyenaraikan rumah yang menjadi latar penggambaran filem Edward Scissorhands, pada harga AS$699,900 (RM2.94 juta).
Menawarkan tiga bilik tidur, dua bilik air, dan sebuah garaj untuk dua kenderaan, rumah dengan keluasan 1,432 kaki persegi itu diharapkan dapat mencetuskan rasa teruja bagi peminat filem tahun 1990 berkenaan - lebih-lebih lagi apabila mengenangkan watak utamanya yang dilakonkan oleh aktor serba boleh, Johnny Depp.
Terletak di Lutz, Florida, rumah itu benar-benar wujud! Pada masa ini ia dimiliki pasangan yang telah menjadikannya sebagai muzium khas untuk filem legendary itu. Media tempatan melaporkan, para peminat sebelum ini boleh melawatnya secara percuma.
Dalam filem tersebut, rumah itu dipaparkan sebagai kediaman keluarga Boggs, yang telah mempelawa Edward Scissorhands untuk tinggal bersama.
Sesiapa yang membeli rumah itu nanti turut akan menerima siri gambar kenangan semasa penggambaran dibuat, seperti yang dibenarkan syarikat produksi, selain boneka kertas yang dihasilkan oleh watak popular itu.
Pemiliknya malah telah mereka semula halaman untuk menyamai rupa landskap seperti yang dilihat dalam filem berkenaan. Pembeli hartanah itu juga nanti bakal menerima semua memorabilia sinematografi berkaitan filem tersebut.
Pada September 2020, rumah itu pernah dibeli pada harga AS$230,000 (RM965,000).
#Edward Scissorhands #rumah dijual #Johnny Depp #hartanah
;