Rumah anggota BTS, Jimin disita, label akui kecuaian
Agensi
April 25, 2022 23:09 MYT
April 25, 2022 23:09 MYT
SYARIKAT Big Hit Music telah memberikan respons berhubung laporan pangsapuri anggota BTS, Jimin disita kerana premium insurans kesihatan yang tidak dibayar.
Pada 24 April, saluran berita Korea, Biz Hankook melaporkan bahawa Perkhidmatan Insurans Kesihatan Nasional telah menyita pangsapuri Jimin di Nine One Hannam di Seoul pada 25 Januari kerana penyanyi itu tidak membayar premium insurans kesihatannya.
Jimin membeli apartmen itu pada harga 5.9 bilion won (kira-kira AS$4.7 juta) pada Mei tahun lalu.
Menurut laporan itu, Jimin menerima empat notis berasingan mengenai perkara itu melalui surat berdaftar, dan notis itu ditarik balik pada 22 April selepas dia membayar sepenuhnya jumlah yang tertunggak itu.
Dalam kenyataannya, Big Hit Music menjelaskan bahawa keadaan itu berpunca daripada kesilapan mereka.
"Disebabkan aktiviti Jimin di luar negara bermula pada akhir tahun lepas, tempoh rehatnya yang panjang, dan aktiviti yang dijadualkan di luar negara selepas itu, dia tidak menyedari perkara seperti premium kesihatannya tertunggak.
"Sebaik sahaja dimaklumkan, dia membayar tunggakan sepenuhnya, dan semua telah diselesaikan.
"Kami memohon maaf kerana kecuaian pihak syarikat membuatkan peminat bimbang," kenyataan itu menyebut.