Rozita Che Wan dan Zain Saidin mengadakan sidang media

Astro Awani
Februari 28, 2013 17:32 MYT
Rozita Che Wan memberi kenyataan bahawa dirinya dan Zain Saidin bakal membuat sidang media apabila mempunyai tarikh perkahwinan kelak.
Dia bertindak demikian bagi tidak menimbulkan sebarang spekulasi tentang hari bahagianya.
Selasa lalu, sebuah akhbar melaporkan, Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta dan Zain bakal bernikah pada Julai ini.
Bagaimanapun berita itu dinafikan kedua-duanya sambil memberitahu kenyataan mereka diputar belitkan wartawan.
“Terkejut saya apabila membaca muka depan akhbar yang menyatakan tarikh hari perkahwinan saya dimana ianya tidak betul,” kata Che Ta.
Menurutnya, dia menyatakan kepada wartawan yang menghubunginya bahawa akan membuat sidang media dalam masa terdekat ini namun ianya disalah tafsir.
“Sewaktu wartawan itu menghubungi, saya dalam keadaan sibuk jadi tidak memberikan sebarang kenyataan sebaliknya memberitahu tentang sidang media, bagaimanapun nasi dah jadi bubur,” ujarnya.
Mengakui hubungannya dengan Zain semakin stabil bagaimanapun namun buat setakat ini, mereka masih belum menetapkan sebarang tarikh.
Setelah tiga tahun mengenali Zain, Che Ta merasakan ianya lebih baik dengan terus bernikah tanpa pertunangan.
“Bagi saya tiada keperluan untuk bertunang berikutan sudah mengenalinya dalam jangka masa yang lama,” kata pelakon itu ketika ditemu ramah.
Che Ta dan Zain mula terbuka tentang percintaan mereka apabila memuat naik gambar-gambar kemesraan mereka di laman Instagram sejak kebelakangan ini.
#Che Ta #pernikahan #Rozita Che Wan #Zain Saidin
;