Rowan Atkinson dedah tidak gemar watak Mr. Bean
Agensi
Januari 9, 2021 12:00 MYT
Januari 9, 2021 12:00 MYT
PELAKON Rowan Atkinson mendedahkan tidak menggemari watak Mr. Bean yang dimainkannya selama bertahun-tahun.
Atkinson mula memegang watak komedi ikonik itu sejak tahun 90-an, dan sedang menyiapkan filem animasi terbaharunya.
Namun begitu, Atkinson mengakui tidak sabar menantikan era Mr. Bean berakhir.
"Saya tidak suka melakonkan watak itu. Saya tertekan dan ia meletihkan.
"Saya tidak sabar menantikan saat watak itu berakhir," kata Atkinson kepada Radio Times.
Bintang Johnny English itu juga memaklumkan tidak terkejut dengan fenomena yang dicetuskan watak berkenaan.
"Menonton orang dewasa berkelakuan seperti kanak-kanak memang sesuatu yang melucukan.
"Apatah lagi elemen komedinya banyak terletak pada visual dan bahasa tubuh serta tidak begitu memerlukan penggunaan bahasa, jadi ia mudah diterima di peringkat antarabangsa," katanya lagi.
Atkinson memainkan peranan tersebut dalam 15 episod Mr Bean antara tahun 1990 dan 1995, dan kembali memegang watak itu dalam dua filem, Bean dan Mr Bean's Holiday, yang masing-masing ditayangkan pada tahun 1997 dan 2007.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!