Rossa sebak kongsi pengalaman bersama Almarhum Sultan Ahmad Shah
Asyraf Roslan
Mei 22, 2019 16:47 MYT
Mei 22, 2019 16:47 MYT
NADA sebak penghibur ternama Indonesia, Datuk Seri Rossa ketika berkongsi pengalaman mengenali Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah jelas menterjemahkan betapa beliau benar-benar merasai kehilangan seorang raja yang berperibadi mulia.
Sepanjang mengenali Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, baginda disifatkan Rossa seorang raja yang mementingkan kesederhanaan selain memiliki personaliti yang menawan serta disenangi segenap lapisan rakyat.
Menurut Rossa, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah merupakan insan yang tidak pernah membandingkan darjat antara rakyat dan keluarga diraja.
"Tuanku melihat manusia itu adalah sama, walaupun saya rakyat Indonesia Tuanku tidak pernah membeza-bezakan kami," kata Rossa berkongsi pandangan mengenai Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika dihubungi Astro AWANI dari Jakarta, Indonesia.
Dalam wawancara yang disiarkan secara langsung dalam program Buletin Khas AWANI yang dikendalikan Nazri Kahar dan Dzulfitri Yusuf, Rossa terlalu sebak ketika berkongsi momen-momen beliau dengan Almarhum.
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mangkat pada jam 8.50 pagi Rabu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, Pahang selepas solat Zohor esok.
Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 41, merupakan antara selebriti yang dianugerahkan darjah kebesaran oleh istana Pahang.
Penghibur yang sangat masyhur dengan lagu Tegar itu menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2018.
Pada 2013, penyanyi itu menerima darjah kebesaran pertama iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Ikuti perbualan penuh Datuk Seri Rossa bersama Astro AWANI.
#Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah
#Datuk Seri Rossa
#Pahang
#Pahang Berkabung
#penyanyi
#Perjalan Terakhir
#Sultan Ahmad Shah
#Sultan Haji Ahmad Shah