Rosnan dari dunia seni bina ke dunia Mak Yong

Bernama
Ogos 18, 2016 12:16 MYT
Rosnan Rahman, (dua kanan) sewaktu menjayakan persembahan Mak Yong "Gading Bertimang" di Matic Mei lalu. - Foto Bernama
Rosnan Abdul Rahman, lulusan bidang seni bina Universiti Sains Malaysia (USM), sanggup meninggalkan bidang kerjaya yang menjanjikan gaji lumayan demi cintanya terhadap Mak Yong.
Terlibat dalam bidang tersebut semasa menuntut di USM, Rosnan kini terkenal sebagai Pak Yong, yang membawa watak Raja dan utama, dalam persembahan Mak Yong bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
Watak tersebut selalunya dipegang oleh wanita dan jarang lelaki.
Beliau berkata minatnya terhadap Mak Yong tercetus apabila beliau bergaul rapat bersama pelajar jurusan seni di USM pada tahun 1995, sebelum menyertai kumpulan kesenian universiti itu.
"Galakan dan dorongan tokoh budayawan Pulau Pinang Datuk Prof Emiretus Mohamed Ghouse Nasuruddin, yang juga merupakan pensyarah di USM, membuatkan saya lebih jatuh cinta terhadap Mak Yong," katanya kepada Bernama.
Anak jati Kedah yang berusia 40-an itu berkata selepas menamatkan pengajian di USM pada tahun 2000, dan bekerja setahun sebagai pensyarah seni bina di sebuah kolej, beliau memohon untuk bekerja sebagai pegawai kebudayaan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Rosnan berkata sejak ditugaskan di Istana Budaya cintanya terhadap Mak Yong terus berkembang apabila berpeluang melibatkan diri dalam persembahan Mak Yong secara aktif.
Beliau berkata sejak dulu lagi, dia telah memasang impian untuk menjadi penggiat Mak Yong secara profesional dan menjadi Pak Yong.
Menyedari watak Mak Yong banyak dipelopori kaum wanita, beliau mencabar diri untuk menjadi antara individu lelaki yang mampu menghidupkan watak itu, katanya.
"Saya mula terlibat dalam persembahan Mak Yong secara profesional pada tahun 2001 sebagai pelakon tambahan dan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi menyelami ilmu tarian, nyanyian dan lakonan yang diperlukan untuk menjadi Pak Yong," tambah beliau.
"Pada tahun 2005, tuah ternyata menyebelahi saya apabila ditawarkan memegang watak Pak Yong dalam teater tradisional 'Dewa Indera Indera Dewa' yang dipentaskan di Istana Budaya," katanya yang mendapat bimbingan daripada Mak Yong negara, Fatimah Abdullah dalam teater itu.
Sejak dari itu, beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Bahagian Produksi di Istana Budaya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus menggilap wataknya sebagai Pak Yong.
Hasilnya, beliau berjaya membawa nama Malaysia, selain mengangkat seni dan budaya yang ditonjolkan dalam persembahan Mak Yong di peringkat antarabangsa apabila dijemput membuat persembahan di luar negara termasuk di New York, Frankfurt, Tokyo dan Seoul.
"Membuat persembahan di Pertubuhan Bangsa Bersatu di kota raya New York sempena 'Malaysia Culture Week' merupakan pengalaman menakjubkan dalam kareer saya kerana tidak semua orang boleh mempersembahkan seni budaya di situ," katanya.
Beliau kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk persembahan Mak Yong 'Dewa Indera Indera Dewa' yang bakal dipersembahkan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang selama dua hari mulai Jumaat ini di bawah program 'The Malaysia Traditional Arts Showcase 2016'.
"Persembahan ini mendapat bimbingan Fatimah Abdullah yang memantau cara saya mengarah persembahan itu supaya ia tidak lari dari konteks yang perlu ditonjolkan dalam setiap persembahan Mak Yong," katanya.
Persembahan itu terbuka kepada orang ramai secara percuma.
#budaya #graduan USM #mak yong #Rosnan Abdul Rahman #teater
;