'Rock Oo', sejarah, rock dan kejujuran

Hassan Abd Muthalib
Februari 28, 2013 07:29 MYT
Siapa dan apakah itu manusia yang bergelar rocker? Inilah dua perkara yang cuba diterokai oleh Mamat Khalid di dalam filem terbaru arahannya, Rock Oo (2012).
Mamat pernah menyoal: “Apakah filem rock semata-mata untuk rockers?” Dia sendiri menjawab: “Ia adalah untuk semua orang. Setiap orang adalah rocker. Rock bukan pada pakaian tetapi sesuatu yang tersemat di dalam hati.” Inilah yang menjadi asas bagi Mamat untuk menyampaikan sebuah kisah yang penuh dengan pathos.
Mamat menjadi ‘perakam sejarah’ untuk memaparkan ‘tragedi’ yang berlaku ke atas pemuda-pemuda musik rock di era 1980-an. Tanpa rakaman ini, satu detik penting dalam sejarah hiburan tanahair akan hilang begitu saja sebagaimana disebut oleh Amir Muhammad di dalam mokumentarinya, The Big Durian: “Masa silam kita sedang lenyap di hadapan mata. Kerana itu setiap kenangan menjadi semakin berharga.”
Rock Oo adalah filem arus perdana yang mengambil pendekatan alternatif, sekaligus menjadikannya sesuatu yang signifikan dalam sejarah, budaya & seni filem tanahair. Mamat sekali lagi menggunakan parodi tetapi kali ini, Mamat bermain dengan rupa & bentuk filem (playing with film form). Terdapat juga elemen surealisme yang diadun dengan plot dengan teratur untuk melahirkan subteks yang tajam & mendalam.
Rock Oo adalah tentang empat ahli kumpulan rock di sebuah kampung berdekatan dengan bandar Taiping. Jijoe (Khir Rahman) adalah ketua kumpulan, Black (Norazmi Baharon), pemain drum & Amy Mat Piah (Que Haidar), vokalis. Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim), menyertai mereka sebagai pemain gitar utama selepas hidup berseorangan di pinggir kampung.
Jiwa Amy Mat Piah membara untuk menjadi vokalis. Apakan daya, dia tidak berkemampuan melakukan yang sebaiknya. Zul Kapan (Soffi Jikan) kembali dari Kuala Lumpur. Kumpulannya, Malaikat Maut, sudah diharamkan oleh kerajaan kerana salah seorang anggota sudah menokak leher seekor itik semasa persembahan! “Hei, kesiannya itik tu!” menjerit rocker-rocker yang melihat kejadian itu!
Semangat persaudaraan begitu kental di hati pemuda-pemuda ini. Amy Mat Piah, walaupun gagal sebagai vokalis Rimba Bara, masih diterima oleh rakan-rakannya. Melalui syot dekat di akhir cerita, Amy, tersenyum, mengenang masa silam Rimba Bara. Suara latarnya penuh sayu: “Rimba Bara, kemampuanmu terlalu besar…” Saya percaya, setiap kali Mamat Khalid menonton adegan ini, pasti air matanya bergenang, terkenang masa silam kumpulannya yang sudah lenyap dari sejarah rock tanahair.
Muncul pula Che Man (Kamarul Haji Yusof), yang pernah menjadi pengurus mereka. Anggota Rimba Bara menerimanya semula dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Tetapi kerana terlalu banyak hutang di sana & di sini, Che Man akhirnya diberkas polis & dipenjarakan. Rimba Bara bertemu pula dengan Che Wan (Saiful Apek) yang menjadi pengurus baru mereka. Apakan daya, sekali lagi tragedi menimpa kumpulan Rimba Bara.
Maka, kumpulan Rimba Bara mengambil keputusan untuk kembali ke kampung. Tak lama kemudian, mereka dilihat berjaya & beraksi di program TV, tetapi itu hanya selepas menjalani upacara pemotongan rambut mereka oleh Menteri Penerangan. Mereka dilihat ‘berjaya’ hanya selepas tunduk kepada pihak berkuasa & menjadi konformis. Tetapi maruah mereka sudah hilang. Apakah rockers tanpa berambut panjang? Bala! Bala!
Amy menganggap semua itu sebagai kenangan yang manis tetapi ia sebenarnya pengalaman yang pahit. Itulah yang dituntut oleh sejarah, masyarakat & pemimpin. Media seterusnya memberikan laporan negatif tentang penglibat rock sehingga demam rock semakin lenyap. Benarkah rock membawa kemusnahan kepada negara? Dengan sinis, Mamat melahirkan dialog yang sarat dengan makna melalui Jijoe yang melihat rakan rocker yang menderita sakit: “Gout tu! Gout boleh jatuhkan negara, tau!”
Sejarah sudah membuktikan bahawa orang-orang yang tidak memahami sesuatu akan bertindak menghukumnya. Masyarakat & pemimpin tidak tahu tentang pengorbanan orang-orang muda di era rock yang juga mempunyai cita-cita & “ada misi”. Sebaliknya mereka ini dianggap sebagai manusia songsang. Maka Mamat memperlihatkan pemuda-pemuda rock sebagai waras, bersopan santun, berbudi bahasa, memberi salam, beristighafar, tolong menolong & mengetahui hukum berminum arak. Aksi rock mereka menggila hanyalah di atas pentas.
Syot terawal memberi penanda tentang kisah sebenar di dalam Rock Oo. Seorang kanak-kanak perempuan berlari & menyampaikan sesuatu kepada Amy yang menjual ais kacang. Itulah penanda tentang innocence pemuda-pemuda di zaman itu yang tidak berpendidikan tinggi & mudah terikut sesuatu yang menghairahkan mereka. Tetapi bukankah itu sebenarnya kesalahan media yang memaparkan segala-galanya, & kerja pemimpin yang membenarkan ianya berlaku? Mengapakah mereka ini tidak dipersalahkan? Keadaan hari ini masih seperti yang dulu malah mungkin lebih buruk lagi dengan program-program hiburan yang melimpah ruah tanpa kawalan mutu. Realiti diketepikan, alam fantasi semakin diperbesarkan.
Kritikan tajam Mamat tentang perkara-perkara ini dapat dilihat dalam beberapa adegan di dalam Rock Oo. Di antara lirik nyanyian kumpulan rock SYJ dalam lagu Orang Timur berbunyi: “Apa dah jadi dengan Malaysia!” Klip-klip video musik seakan menyamai apa yang dibuat di luar negara tetapi dibuat dengan penuh sopan & artistik. Ini dibandingkan dengan lagu Kuala Lumpur nyanyian (Dato’) Malik Redzuan yang berkumandang di radio sehingga sekarang. Ianya diparodi & perlihatkan secara lucu tetapi ternyata aksi ‘penyanyi’ & lirik sudah tidak sesuai lagi dengan zaman.
Kuala Lumpur didendangkan sebagai “penyeri hidup” tetapi bagi kumpulan Rimba Bara, ia hanya membawa pembohongan, kesengsaraan & kelaparan. Lagu Kuala Lumpur membawa sesuatu yang palsu & bersifat fantasi. Klip video musik dengan lagu Suci Dalam Debu pula memberikan gambaran sebenar emosi Slash di dalam video musik yang terpaksa tinggalkan pacarnya apabila mahu ke Kuala Lumpur. Itulah namanya kejujuran dalam berkarya!
Mamat menyampaikan secebis kisah mengenai kumpulan rock Rimba Bara.
Mungkinkah Mamat melihat lebih jauh lagi? Apakah kejujuran, persaudaraan & keakrabaan yang terdapat pada anggota kumpulan Rimba Bara dapat dicontohi oleh penglibat industri hiburan tempatan?
Bersamalah kita menghayati maksud di dalam Rock Oo untuk menemui jawapannya.
#filem #Mamat Khalid #Pekin Ibrahim #Que Haidar #Rock Oo
;