The Rock imbas momen diberi peluang kedua yang mengubah hidupnya
Agensi
April 18, 2021 09:00 MYT
April 18, 2021 09:00 MYT
PELAKON dan ahli gusti terkenal Dwayne Johnson percaya dia tidak akan berada di tempatnya hari ini jika bukan kerana satu momen berjabat tangan yang telah mengubah hidupnya.
Bintang Jumanji itu berkongsi klip dari rancangan televisyennya Young Rock, yang mengimbas kenangan dan memberi penghormatan kepada mendiang jurulatihnya, yang mengajarnya tentang erti peluang kedua.
"Jabat tangan yang mengubah hidup saya," tulis Johnson, 48.
"Saya berumur 15 tahun dan berpindah ke Bethlehem dan baru mula bersekolah di Freedom High School.
"Dalam sebulan saya sudah digantung kerana bergaduh.
"Saya mengalami satu insiden dengan seorang guru dan jurulatih futbol bernama Jodi Cwik di ruang rehat guru, di mana kami hampir bertumbuk.
"Saya langsung tidak menghormatinya.
"Keesokan harinya barulah saya mencarinya untuk meminta maaf," kata Johnson.
Dalam klip Young Rock yang dikongsi Johnson, Cwik, yang wataknya dimainkan oleh Andrew Buchanan memberitahu Johnson bahawa "semua orang layak mendapat peluang kedua" dan menawarkannya tempat dalam pasukan futbol.
Apabila Johnson menolak, jurulatih itu berkata: "Anda tinggal di East Side, kan? Saya juga membesar di sana."
Futbol, kata Cwik, boleh membantu membuka peluang dan menggesa Johnson memberikan dirinya sendiri peluang.
"Sekiranya anda mempunyai bakat, tiada batasan apa yang anda boleh lakukan," kata Cwik lagi hingga memberi impak besar dalam hidup Johnson semenjak itu.
Johnson mendedahkan bahawa jurulatihnya itu telah meninggal dunia, dan dia berterima kasih kepadanya.
"Terima kasih kerana mempercayai budak punk (ini) yang berusia 15 tahun itu."
#Dwayne Johnson
#pelakon
#Hollywood
#guru
#futbol
#jurulatih
#Freedom High School
#Young Rock
#ahli gusti
#Jumanji
#Jodi Cwik