RM50,000 diperlukan untuk baik pulih piano P. Ramlee
Astro Awani
Mac 22, 2019 18:18 MYT
Mac 22, 2019 18:18 MYT
SEBANYAK RM50,000 lagi diperlukan untuk membaik pulih piano milik Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Pada masa ini, sebanyak RM25,000 sudah dikutip menerusi projek 'Getaran 88 Kekunci Hati' yang dilancarkan September 2018, untuk memastikan piano berusia kira-kira 60 tahun itu dapat dimainkan semula.
Kerja-kerja membaik pulih peringkat pertama piano berkenaan pada September lepas membolehkan piano dapat dimainkan dengan 90 peratus bunyi asalnya.
Tugas memulih kekunci piano berkenaan diberikan kepada pakar juruteknik piano, Mohammad Alif Yahya, yang bekerja di United Kingdom .
Piano yang pernah digunakan seniman legenda negara it berjenama “Herrburger Brooks” itu berasal dari United Kingdom, dipercayai diperbuat sekitar tahun 1920an.
P. Ramlee difahamkan telah menggunakan piano itu dalam menghasilkan pelbagai lagu sehingga beliau menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan berprestij.
Menurut Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz piano yang berusia 60 tahun itu sehingga kini masih belum boleh digunakan sepenuhnya.
"Bagi memastikan piano ini 100% dalam keadaan baik, Arkib Negara memerlukan RM50,000 lagi,” katanya pada majlis mengumpul dana dan meraikan penyumbang awal projek berkenaan di Pustaka Peringatan P Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur pada Khamis.