RM3 juta kutipan, '18 Puasa di Kampong Pisang' filem paling laris tahun ini
Faris Danial Razi
April 25, 2021 06:30 MYT
April 25, 2021 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas 10 hari ditayangkan di pawagam rumah anda, Astro First, filem arahan sutradara tersohor Mamat Khalid, 18 Puasa Di Kampong Pisang berjaya meraih kutipan RM3 juta.
Ia sekali gus mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi tahun 2021 setakat ini.
Menurut satu kenyataan Astro Shaw, sambutan daripada penonton terus menunjukkan momentum kukuh, sekali gus mengembalikan keyakinan penonton.
“Ia terutamanya peminat filem Melayu untuk terus menyokong karya-karya tempatan tidak kira apa genre sekalipun,” jelas kenyataan tersebut.
Pada 21 April lepas, filem tersebut telah melakar kecemerlangan apabila buah tangan terbaharunya itu berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh enam hari siaran.
Filem "18 Puasa di Kampong Pisang" mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.
Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden di mana dia didatangi si iblis yang membawa barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Barkoba mengabaikan zakat, menganiaya orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.
Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata, dan berjayakah barkoba menyelamatkan Kiambang?
Filem lakonan antaranya Bell Ngasri, Namron, Jaafar Onn dan Siti Elizad ini boleh ditonton di pawagam rumah anda di Astro First dengan melanggan ke saluran 480 atau strim di Astro Go atau On Demand.
AWANI Pagi: Kisah Di Sebalik '18 Puasa di Kampong Pisang'
#18 Puasa Di Kampong Pisang
#Mamat Khalid
#Astro First
#Barkoba
#Kiambang
#filem terlaris
#Bell Ngasri
#Namron
#Jaafar Onn