RM20,000 milik Dayang, anak didik Stacy juara Ceria Popstar 3
Gempak
Jun 12, 2015 04:00 MYT
Jun 12, 2015 04:00 MYT
Selepas tujuh minggu berentap akhirnya anak didik penyanyi Stacy diumumkan sebagai juara Ceria Popstar 3 malam tadi.
Konsert akhir Ceria Popstar 3 disiarkan secara langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil pada Jumaat.
Dayang atau nama sebenarnya Dayang Izyan Zawanie Iraril, 15, membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM20,000 beserta sebuah trofi sumbangan Astro.
Dalam konsert akhir itu, Dayang telah menyampaikan lagu berjudul ‘Terbaik Bagimu’ nyanyian asal Dato’ Siti Nurhaliza bagi pusingan pertama manakala pada pusingan kedua adalah lagu ‘Diam Diam’ yang merupakan lagu barunya sendiri.
Sementara itu, naib juara pula dimenangi oleh Zack, 13, yang membawakan lagu berjudul ‘Nur Nilam Sari’ dan sebuah lagu baru iaitu ‘Cik Adik Cik Abang’.
Peserta dari Sabah itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 beserta sebuah trofi sumbangan Astro.
Manakala pemenang tempat ketiga dimenangi oleh Fikry dan keempat iaitu Vanessa masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.
Acara ini dihoskan oleh Nabil Ahmad dan barisan juri yang bertanggungjawab adalah Dato' AC Mizal, Johan, Zizan Razak dan Ziana Zain (juri jemputan).
Malam kemuncak akhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan Aweera, Black, Fiq, Firman AF2014 dan kumpulan Mojo.
Tahniah diucapkan kepada pemenang.