Rizman Ruzaini bawa menara KLCC ke Filipina
Gempak
Januari 7, 2017 17:20 MYT
Januari 7, 2017 17:20 MYT
MENARA Berkembar Petronas (KLCC) menjadi inspirasi rekaan Rizman Ruzaini untuk busana Miss Universe Malaysia 2016, Kiran Jassal yang bakal digayakan pada pertandingan Miss Universe ke 65, di Manila, Filipina, pada 30 Januari ini.
Busana potongan jumpsut itu diperincikan dengan hiasan menara berkembar seberat enam kilogram menggunakan kain berwarna kulit dan Perak yang membaluti tubuh Kiran bersama dengan butir-butir kristal Swarovski yang dijahit tangan.
Selain itu, terdapat panel logam berbentuk menara di bahagian bahu bersama jahitan kristal di bahagian dada, melambangkan jambatan yang menghubungkan dua menara.
Pakaian rekaan khas daripada pereka terkenal tanah air itu juga dihiasi dengan rekaan berbentuk geometri mewakili anyaman kraf tradisional negara.
Kiran Jassal yang berusia 20 tahun itu juga akan menggayakan dua pakaian lain iaitu gaun petang dan satu lagi rekaan eksklusif yang akan didedahkan nanti.
Pada edisi ke 65 penganjuran Miss Universe, bandar Manila, Philippines telah dipilih menjadi tuan rumah di mana seramai 85 jelitawan dari seluruh dunia akan merebut gelaran Ratu Universe.