#RISEandUNITE: 31 anak seni bergabung dalam satu suara demi Malaysia
Astro Awani
Ogos 31, 2021 09:00 MYT
Ogos 31, 2021 09:00 MYT
KUALA LUMPUR : #RISEandUNITE, Bangkit dan Bersatu merupakan satu kempen bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan serta sinar ke dalam jiwa rakyat Malaysia.
Kempen ini juga adalah untuk memupuk rakyat agar bangkit untuk membela dan mengejar kejayaan, bersatu tanpa mengira bangsa kita, darah kita, Adam mahupun Hawa. Ini adalah untuk mencapai ketingkatan diversiti dan keharmonian yang lebih baik, demi negara tercinta.
Perancang projek, Mike Manicka bersama penyanyi Asmidar yang muncul dengan idea dan konsep kreatif menggabungkan 31 anak seni untuk mendedikasikan rasa cinta kepada negara semperna Hari Kebangsaan ke-64 dan juga Hari Malaysia.
Mike Manicka berkata, “Saya tahu video ini tidak sempurna, tapi ketidaksempurnaan itulah yang menyatukan kita dan ia juga memberi peluang kepada wajah-wajah pentas yang jarang dilihat di kaca televisyen."
“Projek ini mungkin kecil, akan tetapi projek inilah yang menyatukan anak-anak seni dari pelbagai bidang tanpa mengenal warna kulit kerana seni tiada sempadan,” ulas Asmidar, penyanyi yang popular dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang.
Melalui gabungan bacaan sajak Erti Kemerdekaan, lagu patriotik Malaysia Tanah Airku dan juga bacaan ikrar, video dengan durasi 6 minit 18 saat ini menyuntik semangat patriotik dalam suasana sayu.
#RISEandUNITE: 31 anak seni bersatu dalam satu suara
Selain Fauziah Nawi yang mendeklamasi sajak pada pembukaan, Asmidar, video itu turut dijayakan oleh Rio Siwas, Melissa Ong, Nave Vj, Fiza Thomas, Brian Chan, Nadia Aqilah, Kayilainaathar dan Bihzhu.
Turut tidak ketinggalan ialah Fitri Hiswady, Pavy, Anding Indrawani, Ku, Hans Shahredza, Lilo Lillove, Elvira Arul, Alesia Dhana yang menyumbangkan suara.
Sementara itu, Karl Shafek, Nasz Sally, Ah Chai, Yusof Hashim, Farah Ahmad, Faez Malek, Prem Sagar Krishnan, Sri Idrina, Akmal Ahmad, Lavinya KC, Naque Ariffin, Chopie Cakap, Mei Fan dan Amandus Paul telah menyampaikan bacaan ikrar.
Muzik lagu Malaysia Tanah Airku telah digubah semula oleh penyanyi dan juga penerbit muzik Damian Mihkail dan Harith Augustin.
“Saya suka dengan video ini, saya tonton berulang kali dan meremang bulu roma saya. Saya rasa sedih pada masa yang sama rasa bangga kerana dapat berkerjasama dengan anak-anak muda dalam projek ini,” kata Fauziah Nawi.
Kempen ini juga merupakan satu tanggungjawab sosial sesama anak anak seni dalam terus memupuk rasa cintakan negara melalui pendekatan di media sosial.