Rindu nak makan stew yang Benjy masak - Bapa
Madiha Abdullah, Saharudin Musthafa
Disember 25, 2018 09:00 MYT
Disember 25, 2018 09:00 MYT
PETALING JAYA: "Saya rindukan dia. Rindu nak rasa stew yang dia masak, dia pandai buat stew."
Pandangan Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi, atau Karl, seolah-olah kosong. Namun nada suaranya lirih, cukup membayangkan kerinduan buat anak lelaki tunggalnya.
Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy, kini menjalani hukuman penjara di Medan, Indonesia, yang masih berbaki sembilan tahun.
Mesra disapa Karl, dia kini di bawah jagaan dua anak perempuannya, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty. Pergerakannya terbatas selepas diserang strok dua tahun lalu, namun masih mampu mengurus diri.
"Dulu masa dia kecil, saya selalu dukung dia atas bahu. Itu antara saat-saat manis yang akan saya ingat sampai bila-bila," katanya mengimbau kenangan.
Hati seorang bapa, walau sebesar manapun kesalahan, tetap akan menemui ruang kemaafan buat si anak.
"Tak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Saya sendiri, tak boleh cakap di mana tempat saya nanti, syurga atau neraka.
"Tetapi dia sudah melakukan kesalahan, dari segi undang-undang teap perlu dihukum," katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, pada Isnin.
Penahanan Benjy pada 2017, menjadi dugaan yang cukup hebat buat Karl selepas pemergian isteri tercinta, Azean Irdawaty, kira-kira lima tahun lalu.
"Saya tak kuat sebenarnya untuk hadapi dugaan ini. Hanya doa saja senjata saya.
"Setiap malam saya doakan anak-anak agar mereka diberi hidayah," ujarnya.
Besar juga harapan Karl untuk melihat Benjy dibawa pulang dan menjalani hukuman di Malaysia.
"Susah macam mana pun di sini, ia lebih baik daripada di negara orang," ujar Karl.
Namun membawa Benjy kembali ke negara ini bukan sesuatu yang mudah, memandangkan kesalahan yang dilakukannya berkaitan dadah.
"Kami ada berbincang sebelum ini dengan konsulat Malaysia di Indonesia, mereka sendiri akui prosesnya sukar. Melainkan jika ada membabitkan pejanjian dua hala antara Malaysia dan Indonesia," kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, yang turut serta dalam pertemuan hampir dua jam itu.
Zed bagaimanapun berjanji untuk mengusahakan sesuatu bagi membantu Benjy.
Karl juga tidak berselindung dengan keinginannya untuk bertemu Benjy, namun sedar keadaan dirinya tidak mengizinkannya ke sana melawat Benjy.
"Saya nak ke sana, rasanya tak mampu. Tetapi kalau dibenarkan dia balik sekejap, memang saya nak jumpa dan peluk dia," tambahnya.
Minggu lalu, media melaporkan keadaan kesihatan Benjy yang tidak begitu baik selepas hampir dua tahun menjalani hukuman penjara di Tanjung Gusta, Medan, Indonesia.
Benjy dihukum penjara 11 tahun selepas didapati bersalah menyeludup dadah jenis kristal methamphetamine dalam duburnya ketika berkunjung ke pulau Sumatera pada April 2017.