Rihanna 'masuk campur' protes pertanian di India, kobarkan bantahan terhadap Narendra Modi

Agensi
Februari 3, 2021 14:22 MYT
Rihanna menggunakan pengaruhnya di media sosial untuk mencetus perhatian antarabangsa terhadap protes yang sedang berlaku di India. - Reuters
NEW DELHI: Bintang pop Amerika Syarikat, Rihanna mencetuskan kekecohan di India pada Selasa apabila menunjukkan sokongan terhadap protes golongan petani yang berlangsung sejak berbulan-bulan lalu.
Reuters melaporkan, selebriti berpengaruh itu telah mengobarkan perhatian antarabangsa terhadap kontroversi yang melanda pelan reformasi agrikultur yang diperkenalkan Perdana Menteri Narendra Modi.
Puluhan ribu golongan petani, baik yang tua mahupun yang tua, telah memenuhi jalan raya menuju ke New Delhi selama lebih dua bulan, antaranya dengan meletakkan jentera bajak mereka.
Perarakan dengan traktor pada minggu lalu di New Delhi bertukar ganas. Pasukan polis bertindak balas dengan mematikan perkhidmatan internet, membina parit, merentangkan rantai paku di jalanan selain mengukuhkan penghadang dengan kawat duri bagi menghalang para petani daripada mendekati ibu kota.
"Kenapa kita tidak bercakap tentang perkara ini?" ujar Rihanna dalam hantaran di Twitter, dengan berkongsi artikel CNN mengenai demonstrasi itu.
Rihanna yang memiliki lebih 100 juta pengikut di platform media sosial itu turut menggunakan hashtag #FarmersProtest (protes petani) dalam hantarannya.

why arent we talking about this?! #FarmersProtest https://t.co/obmIlXhK9S

— Rihanna (@rihanna) February 2, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walau bagaimanapun, masih belum jelas punca yang menyebabkan RIhanna, yang lagu-lagunya mendapat sambutan di India, tiba-tiba mahu menyentuh tentang isu berkenaan.
Ketika ciapannya itu menjadi trending di India, seorang aktres berasal dari Mumbai yang juga penyokong parti nasionalis India, menyelar Rihanna.
"Tiada siapa yang bercakap mengenainya kerana mereka bukan petani, mereka ialah pengganas yang cuba memecahbelahkan India..." kata Kangana Ranaut kepada 3 juta pengikutnya di platform yang sama.
Protes tersebut dipimpin oleh masyarakat petani keturunan Sikh dari negeri Punjab yang menghasilkan gandum dan beras. Komuniti berkenaan juga menganjurkan siri protes di seluruh dunia termasuk di Australia, Britain dan AS.
Kumpulan pejuang hak asasi berpangkalan di New York, Sikh Coalition, berterima kasih kepada Rihanna kerana memarakkan perhatian antarabangsa ke atas isu itu.
"Selama lebih seminggu, kerajaan India telah memutuskan perkhidmatan internet terutamanya di laman web yang memaparkan perjuangan #Farmers Protest, yang jelas menunjukkan pencabulan hak kebebasan bersuara," ujar kumpulan itu dalam Twitter.
#Rihanna #selebriti #media sosial #protes petani #India #Narendra Modi #hak asasi #Bantahan #demonstrasi jalanan #New Delhi
;