Ribuan peminat tunggu 10 jam demi bertemu Kim Rae Won
Bernama
Oktober 12, 2016 10:06 MYT
Oktober 12, 2016 10:06 MYT
Populariti Kim Rae Won nyata hebat apabila beribu-ribu peminatnya sanggup menunggu seawal 9.30 pagi bagi mendapatkan tempat dalam sesi bertemu aktor Korea Selatan itu di pusat beli-belah Pavillion di sini pada Isnin.
Pelakon tinggi lampai berusia 35 tahun itu mencuri perhatian lebih 5,000 peminat tempatan daripada pelbagai peringkat umur, kebanyakan peminat setia drama bersiri 'Doctors', yang siarannya berakhir di saluran Astro bulan lepas setelah mencatatkan ranking tertinggi tontonan.
Dengan para peminat membanjiri ruang yang sesak, Rae Won akhirnya tampil pada sesi bertemu peminat itu tepat 7.30 malam dengan senyuman menawan terukir di wajahnya.
"Nama saya Kim Rae Won. Ini hari yang menyeronokkan dan saya benar-benar menghargai kehadiran anda semua di sini...saya berharap untuk kembali ke Korea dengan membawa kenangan manis dan berharap kembali ke sini tidak lama lagi. Terima Kasih," katanya.
Sesi itu diselangi dengan jeritan gemuruh para peminatnya ketika beliau berkongsi pengalamannya berlakon drama 'Doctors', yang diterbitkan Seoul Broadcasting System (SBS).
Dalam usaha menggembirakan para peminatnya, Rae Won juga bersedia melayani enam peminat bertuah melakonkan adegan-adegan ikonik dari drama itu di atas pentas termasuk adegan menari dalam hujan di antara Rae Won dan Park Shin Hye.
Para peminatnya menyahut cabaran itu dengan melakonkan adegan itu sebaik mungkin hinggakan menerima pujian daripada aktor kacak itu.
Acara itu berakhir dengan Rae Won menandatangani poster-poster eksklusif untuk peminat sebelum beliau meninggalkan pentas di tengah-tengah sorakan mereka.
'Doctors' mengisahkan tentang guru sekolah menengah yang akhirnya menjadi pakar bedah neuro (Rae Won) membimbing pelajarnya yang bermasalah (Shin Hye) hingga berjaya dalam pelajaran sebelum menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan.
Drama 20 episod itu akan kembali bersiaran menerusi ONE HD (Saluran 393 Astro) bermula 30 Okt ini.
Semasa ditayangkan pada awal Jun lepas, populariti drama itu melonjakkan saluran ONE HD ke tangga teratas Astro semasa slot siarannya dengan mendapat rating lapan kali lebih tinggi berbanding gabungan tiga saluran Korea Selatan lain.
Ketika ditanya mengenai drama bersiri itu, Rae Won mengakui beliau tertarik melakonkan watak Dr Hong Ji Hong kerana sudah lama tidak membawa watak seorang periang dan ceria.
"Dalam beberapa tahun lepas, saya memegang watak yang sangat serius tetapi Dr Hong Ji Hong sama sekali berbeza kerana dia dilihat sebagai seorang yang amat relaks," katanya pada sidang media sempena kunjungannya ke Kuala Lumpur.
Sambil mengakui bukan mudah membawa watak pakar bedah neuro yang memerlukannya membiasakan diri dengan istilah perubatan yang sukar, Rae Won berkata ia adalah satu daripada cabaran terbesarnya sepanjang kerjaya lakonannya setakat ini.
Sejak mula berlakon pada 1997, Rae Won telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Pelakon Terbaik pada majlis Penganugerahan Drama SBS 2015 dan Anugerah Kecemerlangan Pelakon pada majlis Penganugerahan Drama Korea 2008.
Beliau juga membawa pelbagai watak utama terutamanya menerusi drama bersiri seperti 'Love Story in Harvard' dan 'Punch' selain filem termasuk 'Gangnam Blues'.
-- BERNAMA