Revolution Stage berdepan penutupan, perlu lunas tunggakan RM23,000

Hasimi Muhamad
Mac 22, 2021 10:08 MYT
Lima belas tahun lalu Revolution Stage ditubuhkan sebagai wadah dan platform kepada setiap lapisan masyarakat untuk merasai pengalaman dalam seni persembahan.
LIMA BELAS tahun lalu, Revolution Stage ditubuhkan sebagai wadah dan platform kepada setiap lapisan masyarakat untuk merasai pengalaman dalam seni persembahan.
Mengorak langkah sebagai sebuah kumpulan bebas berlatar belakangkan seni persembahan seperti pengarahan, penulisan kreatif, tarian serta lakonan - organisasi yang diasaskan oleh Khairunazwan Rodzy itu telah melakar pelbagai sejarah dan kejayaan.
Dari hanya sebuah kumpulan kecil, Revolution Stage yang turut menyediakan ruangan untuk latihan, kini menjadi hab kepada lebih 200 graduan seni di seluruh negara untuk berkumpul dan menyerlahkan bakat-bakat mereka.
Namun, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu nyata memberi tamparan hebat buat lokasi seni ini.
Lebih menyentuh hati, hanya satu persembahan yang mampu diadakan oleh Revolution Stage untuk menjana pendapatan bagi menampung ruang seni berkenaan.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan Revolution Stage terpaksa menanggung tunggakan bayaran sewa sebanyak RM30,000 sejak Mei tahun lalu.
Menurut Khairunazwan yang juga pengarah Artistik Revolution Stage, jika pihaknya gagal melangsaikan tunggakan tersebut dalam tempoh 10 hari, maka mereka terpaksa akur untuk ‘melepaskan’ ruangan seni berkenaan.
“Sebenarnya Projek Bangkit Fundraising ini sudah dibuat selama sebulan dan kita sudah mengumpulkan lebih RM7,000 dan masih berbaki RM23,000 lagi untuk melangsaikan segala tunggakan.
“Jadi, sehingga 10 hari terakhir ini usaha pengumpulan dana itu masih belum mencukupi.
“Seandainya 10 hari ini kita tak sempat mengumpulkan jumlah tunggakan sebanyak RM23,000 lagi, maka kita memang terpaksa keluar dari ruang seni ini dan ia bakal ditutup,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.
Revolution Stage yang beroperasi di One Avenue, Petaling Jaya menyimpan seribu satu kenangan, bukan hanya buat pengasasnya, bahkan penggiat seni persembahan itu sendiri.
Daripada pementasan teater berskala kecil kepada besar, sehinggalah bengkel penulisan skrip - semuanya ada di bawah satu bumbung.
Jauh di lubuk hati pemuda berusia 36 tahun itu, dia memikul satu tanggungjawab besar untuk memastikan satu-satunya lokasi yang ada itu mampu dipertahankan dengan keringatnya.
Namun dalam menghitung hari, pilihan yang ada cuma mengharapkan sumbangan orang ramai.
“Seandainya ruang seni ini tidak dapat diselamatkan dan kita terpaksa tutup, kita akan bermula tanpa ada ruang.
“Kita akan kembali dengan hanya sekadar bergerak atas nama dan mungkin apabila mengadakan kelas, kita perlukan ruang sebab penjarakan fizikal dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” ujar pengarah Teater Muzikal Tun Abdul Razak itu.
Berkongsi liku-liku yang terpaksa dihadapi sejak setahun lalu, graduan lulusan seni persembahan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berkata, banyak perancangan dan persembahan terpaksa dibatalkan.
Ia menyebabkan sebahagian daripada pasukan mereka terpaksa mencari pekerjaan lain demi menampung kehidupan seharian.
Malahan, pihak Revolution Stage berusaha mencari inisiatif lain termasuk mengadakan persembahan dalam talian bagi menyesuaikan dengan norma baharu.
“Tetapi dengan cara dalam talian itu kita masih meneroka dan belum boleh lagi faham sepenuhnya.
“Maklumlah (persembahan) teater itu adalah secara langsung di hadapan penonton dan dalam ruangan panggung yang sama.
“Jadi, bila mana kita tak dapat bersama di hadapan penonton, mengadakan latihan dan kelas secara fizikal, maka semua ini terhenti.
“Kita bukan sahaja kerugian dari segi wang tetapi juga perancangan selama setahun dari 2020 dan tahun ini juga tidak dapat mulakan perancangan,” luahnya lagi.
Keperitan yang dihadapi Revolution Stage turut mendapat perhatian artis dan selebriti terkenal tanah air, yang sama-sama membantu mengumpulkan sumbangan.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank Revolution Stage bernombor 8600038320.
Selain itu, sumbangan boleh dibuat melalui pembelian pakej sumbangan bernilai RM10, RM50 atau RM100.
#COVID-19 #Revolution Stage #PKP #seni persembahan #Ruang Seni #teater #industri seni #Khairunazwan Rodzy #Aswara
;