Reunion siri Friends, peminat bimbang keadaan Matthew Perry
Agensi
Mei 21, 2021 11:22 MYT
Mei 21, 2021 11:22 MYT
PELAKON Matthew Perry mencetuskan kebimbangan peminat apabila kerap tersasul dan percakapannya juga tidak jelas dalam satu video promosi reunion Friends.
Video promosi itu juga turut melibatkan lima lagi pelakon siri sitkom popular era 90-an dan awal 2000 itu iaitu Jennifer Aniston, Courteney Cox, Matt LeBlanc, David Schwimmer dan Lisa Kudrow.
Namun, peminat menyedari Perry tidak dapat menjawab soalan seperti rakan-rakannya yang lain.
Peminat menyatakan keprihatinan mereka terhadap keadaan Perry yang sebelum ini pernah mengalami masalah ketagihan ketika masih terbabit dalam siri berkenaan.
"Sedih melihat keadaan Perry, saya tidak tahu bagaimana mahu menikmati reunion ini dengan keadaannya seperti itu," tulis seorang peminat.
Perry sudah bergelut dengan masalah dadah sejak berusia 20-an dan berterusan selepas memegang peranan sebagai Chandler Bing dalam Friends bermula tahun 1994.
Aktor itu penah membuat pengakuan kebergantungannya pada dadah dan alkohol menyebabkan dia tidak ingat banyak perkara berkaitan pembabitannya sebagai salah seorang pelakon siri komedi digemari ramai itu.
Masalah ketagihan itu juga menyebabkannya mengalami banyak masalah kesihatan lain, antaranya termasuk radang pankreas dan masalah usus.