Remy Ishak sahkan isteri hamil 5 bulan, 'baby bump' tak boleh sorok lagi
Media Hiburan
Mac 12, 2023 12:50 MYT
Mac 12, 2023 12:50 MYT
AKTOR Remy Ishak mengakui isterinya, Ezza Yusof kini hamil lima bulan sekali gus mengesahkan mengenai spekulasi berhubung berita gembira itu.
Atas nasihat doktor, Remy, 40, berkata, dia perlu memastikan kehamilan isterinya berjalan lancar dan kuat terlebih dahulu sebelum berkongsi kepada umum.
“Kalau nak ikutkan hati, saya memang nak kongsikan berita gembira ini dari awal, tapi mengambil kira ini adalah kehamilan pertama jadi saya perlu pastikan kandungannya benar-benar kuat dan sihat.
“Doktor pun ada maklumkan supaya saya tidak berkongsi perkara ini terlebih dahulu, tapi kini semuanya sudah terjawab apabila isteri sudah melepasi trimester pertama,” katanya.
Dalam pada itu, Remy akui teruja dan mendoakan agar semuanya dipermudahkan.
“Saya bakal bergelar ayah tidak lama lagi. Satu perasaan yang diimpikan setiap lelaki yang sudah berkahwin.
“Semoga bayi yang bakal dilahirkan sihat dan dipermudahkan segala urusan. Terima kasih atas doa kalian yang selama ini terus menunggu memandangkan ‘baby bump’ pun tak boleh nak sorok lagi,” katanya
Terdahulu, ada peminat mulai mendakwa isterinya yang juga seorang usahawan itu sedang berbadan dua susulan beberapa foto dan video yang dikongsikan Ezza seolah-olah menampakkan ‘baby bump’ yang kian jelas.
Malah ketika diajukan mengenai perkara itu, Ezza meminta supaya ia ditanya kepada Remy dan meminta ramai mendoakan yang terbaik.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos lalu. -Media Hiburan