Remy Ishak kini bergelar bapa
Astro Awani
Julai 27, 2023 13:23 MYT
Julai 27, 2023 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak mengumumkan isterinya, Ezza Yusof selamat melahirkan cahaya mata pertama di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di ibu negara pada Khamis.
Berita gembira itu dikongsi di Instastory, Remy atau Mohammad Zalimei Ishak yang memaklumkan bayi selamat dilahirkan pada 11.17 pagi tadi.
"Assalamualaikum, Alhamdulillah isteri saya Ezza Yusof selamat melahirkan bayi yang sangat comel pada pukul 11.17 pagi bertarikh 27 Julai 2023 di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur," katanya.
Remy turut memaklumkan isteri dan anaknya dalam keadaan yang sihat sekali gus berterima kasih atas doa orang ramai terhadap mereka.
“Keadaan isteri dan anak saya berada dalam keadaan sihat dan baik. Terima kasih di atas kiriman doa dan ucapan tahniah. Sekian, terima kasih,”ujarnya.
Terdahulu, Remy memuat naik video isterinya berada di katil hospital dan memaklumkan Ezza akan melahirkan pada bila-bila masa.
Pada Mac lalu, Remy mengesahkan isterinya sedang hamil sekali gus menjawab teka teki peminatnya.
Untuk rekod, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan.
Sementara itu, Gempak melaporkan, Remy memaklumkan jantina anak sulungnya dan teruja dengan perjalanan bergelar bapa.
"Seperti yang saya maklumkan, isteri saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara normal pagi tadi. Saya bersyukur kerana semua berjalan dengan lancar dan selamat.
"It’s a new journey for me sebagai seorang bapa. Doakan semuanya dipermudahkan," katanya.