Remy Ishak dedah sudah ada nama anak sebelum kahwin lagi
Gempak
April 10, 2023 00:34 MYT
April 10, 2023 00:34 MYT
Aktor Remy Ishak mendedahkan dia sudah mempunyai nama buat cahaya mata pertamanya yang akan dilahirkan kelak.
Kata Remy nama itu dipilih sebelum dia mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Ezza Yusof lagi.
"Sebenarnya nama anak sebelum kahwin lagi saya sudah ada dalam senarai pilihan. Kalau dapat bayi perempuan nama apa, lelaki pun ada senarai.
"Saya pun dah berbincang dengan isteri mengenai nama-nama yang saya suka. Dia pun nampaknya seperti tak ada masalah.
"Nama itu saya pilih kerana waktu dulu saya memang suka cipta gabungan nama yang saya suka tetapi bukan merujuk pada individu tertentu," katanya kepada Astro Gempak.
Remy ditemui Gempak ketika Majlis Berbuka Raya Screening di Le Meridian, Petaling Jaya minggu lalu.
Apabila ditanya keadaan isterinya terkini yang sudah memasuki trimester kedua, Remy memberitahu Ezza tidak mengalami alahan seperti wanita hamil yang lain.
"Alhamdulillah isteri dalam keadaan baik dan tidak mengalami alahan dan tiada pula mengidam yang pelik-pelik.
"Cuma dia sekarang jadi agak sensitif sikit," ujarnya.
Remy dan Ezza melangsungkan perkahwinan pada 21 Ogos 2021 selepas lapan tahun menjalinkan hubungan cinta.