Remy dedah masalah kemurungan
Sinar Harian
Mac 27, 2019 17:17 MYT
Mac 27, 2019 17:17 MYT
BERITA perpisahan antara aktor berbakat besar, Remy Ishak akhirnya dan tunangnya, Ezza Yusof, Rabu lalu ternyata mengejutkan ramai.
Memberi alasan kerana tidak lagi bersedia untuk ke fasa seterusnya dan komitmen besar yang ditanggung, Remy juga meminta sedikit masa lagi untuk menjawab segala persoalan yang berlegar di minda peminat.
Katanya, dia akan tampil dengan buku Sedekad bulan hadapan dan ia akan menceritakan segala-gala tentang dirinya dalam tempoh 10 tahun di dalam industri.
"Buku itu akan ceritakan segala-gala, segala rahsia yang saya pendam, apa jua yang saya lalui iaitu masalah kemurungan, tekanan, komitmen saya dan bagaimana saya cuba kekal relevan dengan kemunculan bintang baharu.
"Cerita itu saya kumpulkan dari tahun 2009 hingga 2019.
"Saya berharap menerusi buku itu orang lain akan boleh menilai kenapa saya tidak boleh ke fasa seterusnya. Kalau saya jelaskan sekarang, setiap orang ada pemahaman yang berbeza
"Cuma yang saya tak cerita adalah mengenai orang lain atau perhubungan yang lalu," katanya yang menafikan putus tunang ini adalah sebahagian daripada gimik pelancaran buku itu.