Remuk hati netizen terima khabar pemergian vokalis Linkin Park, Chester Bennington
Astro Awani
Julai 21, 2017 10:27 MYT
Julai 21, 2017 10:27 MYT
Kematian mengejut Chester Bennington, vokalis kumpulan rock Linkin Park telah mendorong para peminat muzik di seluruh dunia berkongsi rasa sedih di media sosial.
Chester, 41, dilaporkan ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di kediamannya di Los Angeles pada pagi Khamis waktu tempatan dan pihak berkuasa menganggap kes tersebut sebagai bunuh diri.
Netizen rata-rata berkongsi pengalaman mereka bersama muzik Linkin Park, terutama sekali nyanyian Chester dengan lirik penuh makna yang membantu mereka mengharungi saat hidup yang sukar.
Selebriti terutamanya para pemuzik turut mengabadikan ucapan takziah mereka terhadap vokalis tersebut yang telah berjaya menjual lebih 70 juta unit album bersama Linkin Park dan meraih dua anugerah Grammy.
Ambil serius kesihatan mental
Kes bunuh diri melibatkan selebriti bukan lagi perkara asing. Para peminat sebelum ini telah dikejutkan dengan kematian akibat bunuh diri oleh pelakon Robin Williams dan vokalis kumpulan Audioslave, Chris Connell yang juga merupakan sahabat baik Chester Bennington.
Kematian vokalis Linkin Park ini merancakkan kembali perbualan di media sosial agar masyarakat mengambil serius tentang masalah tekanan jiwa dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat demi mengurangkan risiko bunuh diri.