Remaja pulangkan dompet Chris Hemsworth, terima ganjaran AS$10,000

Nizam Bakeri
April 21, 2016 13:16 MYT
Budzyn-Baker bersama dengan Hemsworth dalam rancangan bual bicara The Ellen Show pada Isnin - Foto Instagram/The Ellen Show
“Kita jumpa dompet Thor.”
Itulah yang diucapkan oleh Tristin Budzyn-Baker, 17, kepada ibunya ketika menjumpai dompet bintang Hollywood Chris Hemsworth di sebuah restoran di sini.
Kisah tersebut dikongsi oleh remaja berkenaan ketika dijemput ke rancangan bual bicara The Ellen Show yang turut dihadiri Hemsworth.
Menurut Hemsworth, dia tertinggal dompet tersebut di meja makan sebuah restoran.
“Saya fikir tidak mungkin saya akan dapat semula (dompet), tidak mungkin jumpa semula,” ujar pelakon kelahiran Australia itu.
Selepas dompet tersebut dijumpai, Budzyn-Baker menulis surat kepada pihak pengurusan Hemsworth untuk memberitahu perkara tersebut.
Sebagai hadiah, pihak pengurusan Hemsworth menjemputnya untuk hadir ke rancangan bual bicara kendalian Ellen DeGeneres bersama-sama dengan pelakon adiwira Thor itu sebagai tetamu.
Ketika ditemubual, DeGeneres mengumumkan hadiah AS$10,000 (RM39,000) kepada remaja berkenaan atas kejujurannya.
“Kamu orang muda yang hebat, dan terima kasih kerana menjadi seorang yang jujur,” ujar DeGeneres selepas menyampaikan hadiah.
Awal Mac lalu, video ujikaji sosial karya pengarah Malaysia Jason Lim berjudul Greed viral kerana memaparkan pelbagai reaksi masyarakat selepas melihat wang bernilai antara RM10 sehingga RM50 tercicir.
BACA: Kanak-kanak jumpa wang kertas 100,000 euro terapung di Sungai Danube
#Chris Hemsworth #Ellen DeGeneres #The Avengers #Thor #Tristin Budzyn-Baker
;