'Relationship goal' Mira Filzah dan Wan Emir, netizen minta peminat bertenang
Astro Awani
September 7, 2020 21:04 MYT
September 7, 2020 21:04 MYT
NAMA pelakon Mira Filzah dan pasangannya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, menjadi sebutan hangat di media sosial sejak beberapa hari ini.
Bukan sahaja kerana mereka baru melangsungkan perkahwinan, tetapi juga disebabkan setiap gelagat pasangan pengantin baharu itu menjadi perhatian ramai.
Mungkin kerana Mira sendiri tidak begitu terbuka berbicara tentang cinta sebelum hari pernikahannya, peminat dilihat cukup teruja melihat aksi romantis dia dan suami sepanjang tiga majlis yang berlangsung, hujung minggu lalu.
Namun dalam masa yang sama, ada sebahagian pengguna media sosial yang melihat keterujaan peminat sebagai keterlaluan.
Ada dalam kalangan mereka berpendapat, peminat tidak perlu membuat analisis setiap perilaku Mira dan suaminya, sebaliknya doa dan ucapan tahniah sudah lebih daripada memadai.
Malah mereka juga merasakan Mira dan Emir sendiri pastinya tidak selesa apabila tindak tanduk mereka menjadi perhatian sebegitu rupa.
Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman dan Emir selamat diijabkabulkan pada 3 September lalu.
Emir yang bertugas sebagai arkitek, juga merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid.