Reen Rahim terpaksa tangguh hamil setahun - "Saya anggap tempoh bulan madu"
Gempak
Julai 4, 2023 00:54 MYT
Julai 4, 2023 00:54 MYT
Pelakon Reen Rahim mengakui terpaksa menangguhkan perancangan memiliki anak pada tahun ini kerana berkorban demi kerjaya.
Pun begitu, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim yang berkahwin dengan Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin menganggap tempoh itu sebagai tempoh bulan madu untuk dia dan suami.
"Sebenarnya saya dah ikat kontrak dengan perlumbaan kereta acara Toyota Gazoo Racing yang perlu dihabiskan pada tahun ini. Jadi dalam tempoh setahun ini memang tak boleh nak mengandung demi keselamatan.
"Bagaimanapun saya hanya fikir positif sahaja dan anggap kami berbulan madu selama setahun ini dahulu," katanya kepada Gempak.
Reen ditemui selepas Malam Gala filem Sue-On di GSC Starling Mall, baru-baru ini.
Reen juga bersyukur kerana suami dan keluarganya amat memahami diri dan keputusannya.
"Syukur alhamdulilah suami dan keluarga memahami situasi dan kerjaya saya. Malah suami seorang yang sentiasa memberi sokongan penuh.
"Pada saya, sebenarnya apa yang kita lalui bukan kebetulan dan semua dah tertulis. Allah tahu yang terbaik untuk kita," katanya.
Pasangan ini bergelar suami isteri pada 24 Disember lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan Reen dalam filem terbuyan Datuk Awie berkenaan, dia memegang watak hantu jelita dari Korea bernama Sue-On.
"Ini watak hantu pertama saya diminta jadi hantu manja. Boleh dikatakan ia cerita hantu 'friendly' buat pertama kalinya yang ada di negara kita.
"Dalam filem ini juga pertama kali saya digandingkan dengan otai-otai dalam lakonan yang juga pelakon komedi. Mereka sangat lucu dan agak sukar untuk saya sehingga kena alih fokus beraksi dengan Ropi dan Joey," kongsinya.
Selain Reen, Sue On yang mula ditayangkan di pawagam mulai 6 Julai ini turut dibintangi Datuk Awie, Ropie, Shawani, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Joey Daud, Achey, serta penampilan khas aktres jelita Erra Fazira dan kumpulan rock, Wings. -Gempak